Home Berita PAS Johor

MN dan PN, peluang cerah perpaduan ummah

237
SHARE

Oleh : HARITH HAQEEMI dan ABU HADIF

KULAI, 6 Nov : “Ucapan dasar Presiden yang sangat baik dan menyentuh dalam banyak aspek terutama berkaitan dengan politik dan juga berkaitan dalaman parti kita.”

Demikian menurut Haji Rusman Kemin ketika mengulas Ucapan Dasar Presiden PAS yang disampaikan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 pagi ini, di sini.

“Saya tertarik dengan apa yang disebutkan tentang Muafakat Nasional di peringkat awal adalah perjanjian kerjasama di antara PAS dan juga UMNO.

“Namun, selepas itu, PAS dan UMNO bersetuju untuk menjemput BERSATU untuk menyertai Muafakat Nasional. Namun, akan tetapi perjanjian itu telah dimungkiri kemudian UMNO akhirnya tidak bersedia bekerjasama dengan BERSATU.

“Hal ini boleh merencatkan kepada perpaduan ummah yang sepatutnya boleh kita manfaatkan dengan suasana parti-parti Melayu yang berpecah ketika ini.

“Sentuhan Tuan Guru Presiden kepada ucapan tersebut seharusnya boleh ditimbangkan kembali oleh UMNO untuk melihat perkara itu dan boleh dibaiki kerana inilah masanya untuk kita kembali memperkukuhkan parti-parti yang didominasi oleh orang Melayu seperti PAS, UMNO dan juga BERSATU.

“Jika perkara ini tidak dapat direalisasikan dan tidak ada keterbukaan kepada UMNO, maka ia akan menjadi satu kegembiraan pihak musuh (PH) kerana apabila parti Melayu tidak bergabung, peluang mereka lebih cerah untuk memenangi PRU yang akan datang.

“Keduanya, dari aspek integriti iaitu dari sudut pemimpin yang bakal menjadi calon dalam pilihan raya, pemimpin dalam parti, meletakkan integriti itu suatu perkara yang perlu diutamakan, menyaksikan daripada segi sudut akhlak, sahsiah dan sebagainya,” ujar beliau.

Haji Rusman Kemin merupakan Ketua Penerangan PAS Negeri Johor yang turut hadir sebagai Tetamu Jemputan Khas untuk mengikuti secara langsung atas talian Ucapan Dasar Presiden PAS dan perasmian Muktamar bersama perwakilan dari Johor yang lain dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat peringkat negeri di Le Grandeur Palm Resort Senai, di sini pagi ini.