Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

MINDA ANAK MUDA | “Boikot PRU hanya kekalkan Bn terus memerintah”

2861
SHARE


[Minda Anak Muda]

“BOIKOT PRU HANYA KEKALKAN BN TERUS MEMERINTAH”

Oleh:
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menyokong kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menegaskan bahawa kempen boikot pilihan raya bercanggah dengan Islam.

Ada beberapa situasi boikot ini yang perlu dilihat.

1. Pengundi boikot Pilihan Raya Umum (PRU)
2. Pengundi boikot Pilihan Raya Kecil (PRK)
3. Parti-parti bertanding boikot PRU
4. Parti-parti bertanding boikot PRK

Tindakan pengundi atau parti-parti bertanding memboikot PRK tidak memberikan impak dari segi perubahan kepada organisasi kerajaan, tetapi ianya memberikan satu signal kepada Kerajaan yang memerintah mengenai bantahan awam.

Manakala tindakan pengundi atau parti-parti bertanding memboikot PRU pula sememangnya memberikan signal kepada kerajaan mengenai bantahan awam. Tetapi mudaratnya lebih besar kerana membiarkan parti yang memerintah menang tanpa bertanding jika tiada parti yang lain yang masuk bertanding. Parti yang memerintah juga boleh kekal memerintah jika pengundi memboikot pilihan raya kerana parti pembangkang yang bertanding tidak cukup undi untuk menewaskan parti yang memerintah.

Situasi PRU dan PRK adalah berbeza kerana PRU adalah peluang untuk kita tukar kerajaan manakala PRK hanyalah peluang menukar seorang wakil rakyat sahaja.

Mereka-mereka yang begitu teruja berkempen untuk meminta pengundi memboikot PRU-14 harus melihat lebih jauh supaya mereka tidak mengadaikan negara ini dengan mengekalkan BN melainkan mereka adalah ejen-ejen yang dibayar oleh BN untuk memujuk pengundi Pembangkang tidak keluar mengundi.

Malah ada yang lebih teruk lagi mengerakkan kempen untuk membuat undi rosak. Ini juga satu penganiayaan dan kerugian kepada diri pengundi dan dana awam yang digunakan untuk melaksanakan pilihan raya. Pengundi yang hadir semata-mata untuk membuat undi rosak membazirkan masa dan tenaga mereka kerana perlu datang ke tempat pembuangan undi dan berbaris hanya untuk membuat undi rosak.

Pengerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MAFREL), Abd Malek Husin dalam tulisannya berkongsi sejarah pemboikotan pilihanraya oleh pengundi di beberapa negara Afrika seperti berikut:

Ghana (1992): hanya 28.1 peratus keluar mengundi
Zambia (1996): hanya 58.4 peratus keluar mengundi
Mali (1997): hanya 21.6 peratus keluar mengundi
Gambia (2002): hanya 56.4 peratus keluar mengundi

Para pemboikot pilihan raya di Afrika ini adalah mereka yang membenci parti pemerintah, namun tindakan memboikot mereka itu akhirnya hanya mengekalkan parti yang memerintah kerana parti pembangkang kalah teruk disebabkan undi sedikit.

Peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi sebenarnya memberikan bantuan kepada parti pembangkang untuk lebih berjaya menguasai lebih banyak kerusi di Parlimen. Malek Husin juga berkongsi Sejarah PRU di Malaysia dari tahun 1959 hingga 2013 yang menunjukkan undi kepada BN merosot bila peratusan keluar mengundi meningkat:

1959: Keluar mengundi 71.85 peratus; undi Perikatan 51.77 peratus
1969: Keluar mengundi 73.39 peratus; undi Perikatan 49.89 peratus
2008: Keluar mengundi 74.72 peratus; undi BN 51.39 peratus
2013: Keluar mengundi 84.84 peratus; undi BN 47.38 peratus

Mereka-mereka yang berkempen memboikot pilihan raya juga ada yang memainkan sentimen agar pengundi memboikot pilihan raya bukan sahaja kerana membenci BN, tapi kerana mereka juga tidak suka melihat Pembangkang menggantikan BN.

Blok pembangkang kini adalah dua kumpulan, satu Gagasan Sejahtera dan satu lagi Pakatan Harapan. Pengundi sebenarnya mempunyai pilihan lain selain BN dan sewajarnya kempen boikot pilihan raya, khususnya kalangan anak muda tidak berlaku.

Kempen boikot PRU-14 di Malaysia ini banyak terpengaruh dengan agenda Golongan Putih (Golput) di Indonesia yang telah wujud sejak 1971. Golput di Indonesia adalah kumpulan haluan kiri yang masih aktif mengadakan kempen “BoikotPRU”.

Namun hingga ke hari ini kempen-kempen Golput gagal kerana mereka tidak menyelesaikan masalah pengundi di Indonesia yang mahukan perubahan. Empat Presiden Indonesia berjaya ‘digulingkan’ tapi bukan melalui pemboikotan pilihan raya oleh pengundi.

1966: Sukarno dipaksa meletak jawatan tanpa pertumpahan darah oleh tentera Indonesia.

1998: Soeharto dipaksa meletak jawatan selepas rakyat Indonesia mengadakan demontrasi besar-besar sehingga menawan Parlimen Negara itu.

1999: BJ Habibie pula disingkirkan melalui Undian tidak percaya oleh Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR)

2001: Abdurrahman Wahid juga disingkirkan oleh Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR)

Pilihan Raya Indonesia pada 2004 membuktikan bahawa pilihan raya juga adalah satu cara terbaik menyingkirkan pemimpin penuh skandal, Megawati Sukarnoputri yang akhirnya dapat ditewaskan oleh Susilo Bambang Yudhoyono.

Pemuda PAS mengajak rakyat untuk membuat perubahan bukan dengan menyertai kempen boikot PRU-14 yang meniru cara kumpulan Golput yang gagal mencipta perubahan. Lakukanlah perubahan itu dengan turun mengundi beramai-ramai.

PAS sedar bahawa rakyat kini muak dengan politik janji-janji palsu BN serta politik fitnah dan temberang PH. Namun rakyat punyai pilihan ketiga iaitu Gagasan Sejahtera yang turut dianggotai PAS yang mempunyai rekod bersih dalam melahirkan wakil-wakil rakyat yang amanah serta bebas rasuah.

1 Februari 2018