Home Berita PAS Kedah

Mesej jelas melalui tema Muktamar PAS kali ke – 67

389
SHARE

Oleh ROZAIDI TAIB

SUNGAI PETANI, 8 Nov – Tema “Islam Menyatukan Ummah” Muktamar PAS kali ke -67 tahun ini merupakan mesej jelas halatuju yang dibawa oleh PAS untuk menyatukan umat islam khususnya di Malaysia. Ia merupakan usaha yang telah lama dilakukan oleh PAS bagi mengajak ummah kembali kepada ajaran Islam yang syumul.

ADUN Sungai Limau, YB Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata usaha tersebut memuncak selepas melihat senario pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya untuk membentuk kerajaan dan dominasi bukan Islam yang berada di dalam barisan kabinet pada ketika itu.

“Banyak tiang-tiang yang menjadi kekuatan asas kepada penubuhan kerajaan persekutuan, penubuhan Malaysia, asas kepada Islam sebagai agama rasmi persekutuan, asas kepada melayu dan sebagainya, cuba untuk diganggu gugat oleh pimpinan PH pada waktu itu.

“Maka tercetuslah gerakan bagi mengajak parti-parti khususnya yang terasnya Melayu-Islam untuk bersama-sama berada di dalam Muafakat Nasional serta tercetusnya pakatan politik Perikatan Nasional,” ujarnya.

Jelasnya usaha yang berterusan ini sepatutnya disahut oleh bukan sahaja pimpinan dan seluruh ahli PAS, bahkan kesemua parti-parti politik yang berada di dalam Malaysia termasuklah UMNO, BERSATU dan jugak parti-parti pelbagai kaum yang tidak ekstrem untuk bersama-sama membawa halatuju yang jelas dalam sebuah negara yang mempunyai masyrakat majmuk.

“Jadi ini ialah satu tema yang meraikan masyarakat majmuk di dalam Malaysia, menunjukkan PAS merupakan Parti yang menghormati demokrasi dan juga Muwajahah Silmiyyah ke arah mengajak kepada perdamaian,” katanya yang juga merupakan mantan Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah.

Memetik ucapan dasar Muktamar oleh Tuan Guru Presiden PAS, Mohd Azam menyifatkan kekuatan antara kekuatan yang ada dalam PAS ialah ia dilihat sebagai parti yang berpegang kuat pada janji, dan Islam sebagai dasar keadilan untuk semua.

Manakala sisi lain katanya, PAS menjadi medan penilaian masyarakat melalui sifat integriti yang ada pada kepimpinan PAS dalam pentadbiran negeri dan negara.

“Dengan kekuatan integriti, bebas daripada rasuah, mempunyai akhlak yang mulia, kemampuan untuk mentadbir dan mengurus yang ditunjukkan oleh pimpinan Kelantan, Terengganu dan Kedah serta beberapa kementerian yang dipimpin oleh pimpinan PAS pada harini, merupakan mesej yang jelas kepada rakyat untuk mengemukakan tawaran kepada rakyat Malaysia,” tambahnya.

Harapan beliau agar melalui integriti yang ada dan pegangan kuat kepada Islam merupakan satu tawaran yang baik kepada rakyat Malaysia untuk memilih calon-calon daripada  PAS khususnya pada Pilihanraya Umum yang akan datang dan terdekat ialah Pilihanraya Negeri Melaka.

Mengulas perbahasan yang dibawa oleh wakil-wakil negeri-negeri  dalam Muktamar kali ini beliau menyatakan rata-ratanya amat berkualiti dalam memberi lontaran pandangan serta cadangan untuk pimpinan parti khususnya yang berada di dalam kerajaan.

“Solusi-solusi utuk kita laksanakan pendekatan islam dan memberikan kefahaman dan dakwah kepada rakan-rakan daripada parti lain yang berada dalam kerajaan, Islam yang kita bawa dan kita yakin dengan mesej Islam ini yang bawa kemakmuran bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga bukan Islam,” katanya.