Home Berita PAS Perlis

PAS Perlis fokus usaha perkukuh PN

55
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 8 Nov : PAS Perlis akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh Perikatan Nasional (PN) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, perkembangan mutakhir yang berlaku dalam PRN Melaka sememangnya amat mengejutkan namun pada masa yang sama menyifatkannya sebagai lumrah dalam politik.

Namun ujarnya, agenda pemerkasaan perpaduan ummah akan terus diutamakan selaras dengan tema yang diangkat pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 iaitu ‘Islam Menyatukan Ummah’ yang berlangsung baru-baru ini.

“Seringkali berlaku dalam ikatan persahabatan politik merupakan usaha kita mempertautkan penyatuan ummah selepas parti pemerintah sebelum ini kalah dalam pilihan raya.

“Namun tangan yang dihulur bagi menyelamatkan rakan seakidah ada kalanya dilupakan begitu sahaja, selepas parti terbabit bangkit semula, ini lumrah sebuah kehidupan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ujar Mohd. Shukri lagi, tindakan Umno dan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi jelas menafikan semangat Muafakat Nasional (MN) ketika PAS berusaha keras cuba mengelakkan perkara berkenaan.

Pertandingan tiga penjuru kata beliau, bukan sahaja memecahkan undi Melayu-Islam, malah memungkinkan negeri Melaka jatuh kembali ke tangan Pakatan Harapan.

Justeru, beliau yang juga Adun Sanglang berkata, PAS bersama-sama dengan rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional akan merangka persediaan awal untuk menghadapi PRU15 dengan mengukuhkan kerjasama politik yang ada sekarang.