Home Berita PAS Kelantan

Menyedarkan masyarakat tentang solat tanggungjawab bersama – Menteri Besar

192
SHARE

KOTA BHARU, 28 Feb: Dalam usaha mengajak rakyat menghayati falsafah ibadat solat ia bukan sahaja terpikul di bahu agensi agama bahkan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama mengambil tanggungjawab menyedarkan masyarakat.

Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1443H/2022M di Masjid Sultan Ismail Petra, hari ini.

Katanya, ibadat solat mengandungi rahsia yang tersendiri khususnya untuk tujuan pembersihan jiwa dan pembentukan peribadi ummah yang diredhai dan negara yang diberkati oleh Allah SWT.

“Masyarakat yang memandang ringan ibadat solat akan membawa kepada kepincangan dalam kehidupan yang memberi kesan buruk kepada aspek kesejahteraan hidup yang menyebabkan individu dan masyarakat terjerumus ke lembah krisis kemaksiatan dan kemungkaran.

Kerajaan Negeri sejak 1990 berusaha bersungguh-sungguh mengikuti segala tuntutan syariat dengan mengutamakan pembinaan generasi solat melalui pelancaran program sambutan bulan solat,” katanya.

Bagi mencapai tujuan tersebut, beliau turut mengesa supaya peranan masjid dan surau perlu diperhebatkan untuk kepentingan masyarakat khususnya dalam memupuk perpaduan ummah.

Berhubung perkara yang sama, beliau turut mencadangkan supaya terus diperhebatkan program-program dakwah dalam bentuk kerjasama dengan pelbagai agensi serta memperkasakan kepimpinan budaya solat berjemaah khususnya solat Subuh berjemaah perlu dijadikan program sepanjang tahun.

Berucap sebelumnya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud menyatakan, program sambutan bulan solat anjuran Kerajaan Kelantan selama ini turut dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan sekarang.

Beliau turut berharap, supaya ibadat solat yang diamalkan itu menepati kehendak syariat serta dapat mencegah diri daripada perbuatan keji dan mungkar.

Majlis turut diisi dengan tazkirah subuh yang disampaikan oleh Mufti Negeri Kelantan, YB SS Dato’ Mohamad Shukri Mohamad.
Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato’ Pengarah JAHEAIK, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Imam dan Ahli Jawatankuasa Masjid Sultan Ismail Petra.