Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 17 Jun: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar memuji kesungguhan Kerajaan Negeri Kelantan mempelbagaikan cara pemberian vaksin kepada rakyat agar sasaran 80 peratus imuniti kelompok dapat dicapai menjelang Oktober ini.
Sehubungan itu, beliau menyatakan lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Machang dan Kuala Krai.
Beliau turut mengumumkan Kelantan bakal menerima sebahagian bekalan vaksin CanSino yang tidak memerlukan dua dos suntikan.
“Kelebihan vaksin ini adalah satu dos sahaja dan kita menjangkakan sebahagian vaksin itu akan dihantar ke Kelantan di kawasan pedalaman terutamanya pos-pos Orang Asli di Gua Musang dan Kuala Krai kerana tidak perlu masuk dua kali ke kawasan tersebut untuk melaksanakan PICK,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Peringkat Kebangsaan dan Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob.
Sementara itu, Dato’ Ahmad menzahirkan ucapan terima kasih kepada delegasi MOSTI/CITF atas kerjasama menjayakan Program Imunisasi COVID-19 peringkat negeri Kelantan.
Beliau juga menyatakan komitmen Kelantan untuk menyuntik 32,000 orang sehari atau 635, 000 sebulan dan menyambut baik pelan pemulihan negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Kelantan, YB Dato’ Kaya Setia Haji Nazran Muhammad, Exco Kerajaan Kelantan, YB Dr Izani Husin, Timbalan Menteri MOSTI YB Dato’ Haji Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, Penasihat Khas YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan kenamaan lain.