Home Artikel PAS Melaka

Menteri MPIC hasrat wujudkan hub industri coklat Melaka

464
SHARE

Oleh : Ibnu Janie
Foto dan video : Abu Anas

MELAKA, 27 Ogos : Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia (MPIC), YB Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali berhasrat untuk mewujudkan sebuah hub industri coklat di Negeri Melaka.

Perkara ini dinyatakan beliau dalam satu kunjungan hormat beliau ke atas Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali di Seri Negeri di sini semalam.

Menurut Khairuddin, idea yang sama juga sedang dibangunkan di Negeri Kedah apabila Langkawi telah dipilih sebagai hub coklat bagi Negeri Kedah.

“Di sini juga kita berharap agar dapat mengemukakan satu idea ‘Melaka Choclate City’ atau bandar coklat bagi Negeri Melaka, kerana Melaka adalah negeri pelancongan.”

 

Tambah Khairuddin lagi, ia adalah berdasarkan idea asal dari kementeriannya untuk menjadikan Malaysia ‘King Of Asian Chocolate’.

Selain itu beliau juga mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan industri penanaman kenaf dan pokok karas untuk menghasilkan gaharu di Negeri Melaka kepada pihak Ketua Menteri Melaka.

Turut menyertai kunjungan beliau ini ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz dan pegawai-pegawai tinggi MPIC.

Terdahulu Khairuddin telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Utama Dr Mohd Ali Mohd Rustam bagi menyampaikan ucapan tahniah atas perlantikan Tun sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka dan juga bersempena sambutan ulangtahun kelahiran Tun yang disambut baru-baru ini.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)