Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Menjunjung kasih seruan YDPA untuk patuhi SOP

34
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Menjunjung Kasih Seruan YDPA untuk Patuhi SOP

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah agar seluruh rakyat Malaysia berganding bahu dalam melandaikan keluk penularan jangkitan COVID-19.

Kadar kes harian baru yang menunjukkan peningkatan mencecah angka 3000 sehari perlu diambil berat setiap daripada kita agar sentiasa menjaga disiplin dan keselamatan diri dalam pematuhan SOP yang telah diarahkan pihak kerajaan.

Rakyat dan kepimpinan negara mesti bersatu padu patuh akan setiap arahan bagi mengelakkan penularan pandemik lebih serius di negara kita sepertimana yang sedang berlaku dalam negara-negara Asia Selatan dan Eropah.

India mencatat 386,000 kes baharu dan hampir 3,500 kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam. Pandemik ini telah meragut lebih 200,000 nyawa di India, setakat ini, termasuk 45,000 mangsa pada bulan lalu.

PAS menyeru supaya kita lebih berwaspada, bertindak mengikut akal yang waras serta tidak terlalu mengikut emosi sehingga mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Kita meyakini bahawa seluruh petugas barisan hadapan sedang berpenat lelah menjalankan tugas-tugas mereka. Hasilnya, kadar sembuh baharu berada pada tahap yang baik setiap hari. Mereka melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi demi kebaikan kita semua.

PAS mengajak agar kita mengambil peluang keberkatan bulan Ramadan ini untuk sama-sama menadah tangan memohon pada Allah SWT memelihara negara dan seluruh rakyat berada dalam kesejahteraan dan kesihatan yang baik.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
1 Mei 2021 | 19 Ramadan 1442