Home Minda Presiden

Mengenali Zionisme, Fahaman Paling Melampau

2051
SHARE


Minda Presiden PAS 

MENGENALI ZIONISME, FAHAMAN PALING MELAMPAU

Pelampau paling ganas dalam sejarah ialah Zionisme (Bahasa Ibrani: ציונות‎, tsiyonut), (Bahasa Arab: صهيونية, sohyūniyyah) dan (Bahasa Inggeris: zionism). Mereka adalah satu gerakan nasionalisme Yahudi antarabangsa yang menubuhkan negara bangsa Israel di kawasan Palestin.

Asal usul gerakan ini sebenarnya telah bermula lebih awal, tetapi secara rasmi zaman terkini ditubuhkan oleh seorang wartawan berbangsa Yahudi Austria-Hungary, Theodor Herzl pada akhir kurun ke-19 melalui penerbitan bukunya Der Judenstaat.

Sekiranya dibuat pembacaan lebih jauh, panjang dan mendalam lagi dari sudut sejarah, lebih banyak pendedahan sikap melampau mereka sehingga menubuhkan Negara Agung Israel (إسرائيل كبرى Greater Israel) (Hebrew: Eretz Yisrael Hashlema) yang dibatasi sempadan yang bermula daripada Sungai Nil di Mesir sehingga Sungai Euphrates di Iraq, daripada Laut Tengah sehingga ke Laut Merah, termasuk Kota Tanah Suci Madinah sehingga Yanbu’ di Arab Saudi. Peta negara yang mereka perjuangkan ini terukir di pintu Knesset (Parlimen) Israel.

Bagi mencapai matlamat kaum mereka, Yahudi cuba menanamkan suatu kefahaman kepada para penganutnya dengan ideologi paling bersifat fanatik perkauman. Mereka sanggup melakukan keganasan dalam aspek politik, ekonomi dan moral. Bahkan mereka menanamkan semangat bahawa merekalah bangsa paling mulia di muka bumi ini.

Andai ditekuni bacaan al-Quran, nescaya akan didapati terlalu banyak cerita berkenaan golongan pelampau Yahudi, Allah SWT mendedahkan fahaman yang menjadikan mereka kumpulan paling dimurkai oleh Allah SWT (المغضوب عليهم). Kalimah tersebut diucapkan dalam setiap rakaat solat, kerana mereka sudah terlampau menyeleweng daripada agama Allah SWT yang diperjuangkan oleh para anbiya’.

Umat Islam wajib beriman kepada para anbiya’ AS dan Kitab yang dibawa oleh mereka, termasuk kalangan Nabi yang berbangsa Yahudi dan Kitab dalam Bahasa Ibrani. Kini Kitab itu sudah diselewengkan oleh golongan pelampau Yahudi dan telah dibongkarkan di dalam al-Quran menerusi ayat-ayat yang pelbagai. Antaranya firman Allah:

﴿فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ٧٩﴾

“Kecelakaan besar bagi orang-orang (Yahudi) yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah daripada sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.” (Surah al-Baqarah: 79)

Al-Quran menceritakan bahawa Allah SWT memerintahkan golongan Yahudi agar memasuki Palestin yang telah dirasmikan oleh Nabi Ibrahim AS dan menetap di bumi Palestin atas nama Islam, bukan atas nama bangsa atau agama Yahudi, kerana Allah SWT berfirman:

﴿مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ٦٧ إِنَّ أَوۡلَى ٱلنَّاسِ بِإِبۡرَٰهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا ٱلنَّبِيُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۗ وَٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٨﴾

“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik. (67); Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad SAW) ini serta orang-orang yang beriman (umat-umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman. (68).” (Surah Ali ‘Imran: 67-68)

Kaum Yahudi yang melampau bukan sahaja tidak beriman kepada Rasul dan Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT, bahkan mereka juga bertindak sangat ganas sehingga membunuh para Rasul, Nabi dan ulama’ yang mengajak mereka kepada mengikuti jalan yang benar daripada Allah SWT. Firman Allah:

﴿وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ٦١﴾

“Mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mu’jizat-mu’jizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-Nabi dengan tiada alasan yang benar. Demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa melampau batas.” (Surah al-Baqarah: 61)

Firman Allah:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ٢١﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil, maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Ali ‘Imran: 21)

Allah SWT menyifatkan mereka sebagai makhluk perosak di bumi. Satu kaum yang sangat derhaka terhadap Allah, sehingga mencetuskan kejahatan dan kekacauan di seluruh dunia, antara sesama mereka dan terhadap manusia serta makhluk yang lain. Firman Allah:

﴿وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ٦٤﴾

“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil atau kikir)”, sebenarnya tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (ni’mat dan kurniaNya luas melimpah-limpah). Dia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Dia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al-Ma’idah: 64)

Umat Islam seharusnya tetap istiqamah bersama al-Quran yang benar dan menolak propaganda Holocaust yang cuba dibesar-besarkan. Semua bencana yang menimpa kaum Yahudi adalah hukuman Allah SWT akibat daripada kejahatan di dunia yang mereka kerjakan sebelum menerima hukuman di hari akhirat kelak.

Firman Allah:

﴿وَقَضَيْنَا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا٤ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ أُولَاهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَنَا أُولِي بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُوا خِلَالَ الدِّيَارِ  وَكَانَ وَعْدًا مَفْعُولًا٥﴾ 

“Dan Kami menyatakan kepada Bani Israel dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. (4); Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku). (5).” (Surah al-Isra’: 4-5)

Kaum Zionis itu tidak layak menjaga Tanah Suci Palestin dan Baitul Maqdis. Pada malam Isra’ dan Mi’raj, Rasulullah SAW mengimamkan sembahyang bersama para anbiya’ di Masjid al-Aqsa, menjadi simbol yang sangat bermakna kedudukannya di sisi umat Islam. Maka Khalifah Umar bin al-Khattab RA sendiri hadir ke Palestin bagi menerima perisytiharan pembebasan bumi suci itu daripada penjajah Rom Byzantine, disaksikan oleh Paderi Besar dan penganut Kristian yang tidak menerima penjajahan Rom tersebut.

Tentera Salib yang datang daripada Eropah menakluk bumi suci itu selama satu abad, terlalu banyak keganasan yang berlaku termasuk terhadap sesama penganut Kristian yang tidak semazhab dengan mereka.

Keganasan berterusan berlaku sehingga Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang berbangsa Kurdis berjaya membebaskan Palestin tanpa membalas dendam dan memberi hak kepada bukan sahaja kepada penganut Islam, bahkan bukan Islam yang memuliakan Baitul Maqdis.

Penguasaan Islam terhadap bumi suci Baitul Maqdis bertahan sehingga penjajah British menyerahkannya kepada Zionis melalui Deklarasi Balfour (Balfour Declaration) dan Perjanjian Sykes-Picot (Sykes-Picot Agreement). Sejarah keganasan yang mencabul bumi Palestin kini berulang lagi. Sehingga mencetuskan peristiwa penyembelihan Deir Yassin, Sabra Shatila dan lain-lain sehingga hari ini.

Sultan Abdul Hamid II (Khalifah ‘Uthmaniyyah Turki) menunjukkan suatu pengorbanan yang menjadi peristiwa paling bersejarah apabila Baginda mempertahankan tanah suci Palestin khususnya Baitul Maqdis daripada menjadi milik Zionis. Sultan Abdul Hamid II lebih rela mati dalam buangan di pulau terpencil, sekalipun ditawarkan suapan rasuah paling mahal dan janji oleh pemimpin Zionis, Theodor Herzl untuk mengekalkan takhtanya. Namun begitu, Sultan Abdul Hamid II tetap menolak dengan tegas.

Allah SWT berjanji bahawa hanya Islam yang akan menyelamatkan manusia, firmanNya:

﴿إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا  إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ٣٨ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا  وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ٣٩ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَنْ يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ  وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا  وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ  إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠﴾

“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi kufur (tidak bersyukur di atas ni’matnya). (38); Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan yang zalim), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). (39); Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (40).” (Surah al-Hajj: 38-40)

Walaupun sebab turunnya ayat-ayat tersebut bekenaan Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang berakhir dengan kemenangan Fathu Makkah, tetapi al-Quran adalah mukjizat yang mengandungi petunjuk di sepanjang zaman.

Usaha untuk menormalisasikan Zionis yang paling melampau itu, adalah satu tindakan yang sangat tidak adil sehingga menganggap Zionis yang merampas, meroboh rumah kediaman dan kebun rakyat Palestin itu berhak melakukan apa sahaja sewenang-wenangnya. Adapun rakyat Palestin yang bangkit mempertahankan hak mereka pula dianggap sebagai pelampau.

Zionis sudah mempunyai loji nuklear yang mampu mengadakan senjata pemusnah sejak tahun 1960-an lagi dan dibekalkan senjata yang boleh membunuh tanpa batas, namun dianggap mereka itu mempertahankan hak. Adapun kebangkitan rakyat Palestin bersenjatakan batu dan belon itu pula dianggap sebagai pengganas.

Rasulullah SAW telah berjanji dalam hadis yang sahih:

“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّيْنِ ظَاهِرِيْنَ، لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِيْنَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ. وَهُمْ كَذَلِكَ”، قالوا: “يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟” قال: “بِبِيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.”

“Masih ada di kalangan umatku kumpulan yang menegakkan agama (Islam), mereka gagah perkasa menghadapi musuh, sehingga tidak boleh dimudaratkan oleh orang yang menentang (atau mengecewakan), melainkan sekadar kumpulan itu menghadapi kesulitan, sehingga datangnya urusan Allah (memenangkan mereka), mereka terus tidak berganjak. Lalu mereka bertanyakan Rasulullah SAW: “Di manakah adanya mereka.” Sabda Rasulullah SAW: “Di Baitul Maqdis dan di sekitarnya.” (Riwayat Ahmad 22320 dan al-Thabrani 7643)

Hadis Rasulullah SAW di atas menjadi bukti akan kebenaran yang menunjukkan bahawa rakyat Palestin pasti menang. Mereka yang mengecewakan Palestin pasti gagal, walaupun kumpulan pelampau Zionis ini dapat menguasai Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, serta politik wang dan media perdana di semua negara kuasa besar dunia, kerana Allah berjanji:

﴿وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِنْدَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِنْ كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ  إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ٤٧﴾

“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. (46); Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janjiNya kepada Rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi sedia membalas (orang-orang yang menderhaka kepadaNya. (47).” (Surah Ibrahim: 46-47)

Maka pergi jahanamlah mereka yang menormalisasikan pengganas Zionis dengan segala cara dan bila-bila masa sahaja. Biarkan mereka yang buta al-Quran tenggelam bersamanya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Zulhijjah 1441 / 19 Ogos 2020