KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat
3 SYAWAL 1442 l 15 MEI 2021
MEMPERINGATI NAKBAH PALESTIN : UMMAH MESTI BERSATU
1. Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak umat Islam seluruhnya untuk kembali bangkit dan bersatu padu menerusi memperingati detik hitam buat ummah yang genap 73 tahun pada hari ini iaitu Nakbah Palestin apabila tertubuhnya negara haram Israel dan tarikh 15 Mei 1948 menyaksikan bagaimana penduduk Palestin dihalau dan rumah mereka dirobohkan secara zalim.
2. Tertubuhnya negara haram Israel di atas rampasan tanah yang barakah tersebut memberikan banyak pengajarannya kepada ummah. Ini dapat dilihat kejayaan tersebut khususnya setelah mana hilang kuasa politik Islam tertinggi secara rasmi pada 1924. Menjadikan Deklarasi Balfour 1917 berjaya direalisasikan dengan lebih mudah apabila wilayah-wilayah Islam dicerai beraikan setelah tamatnya Perang Dunia Pertama dan berlakunya Perjanjian Sykes-Picot.
3. Kejayaan penempatan haram Yahudi dan tertubuhnya negara haram ini menjadi pengajaran kepada kita bahawa ummah akan lemah apabila terus berpecah dan tenggelam bercakaran dalam polemik perbezaan pandangan sehingga musuh berjaya mengambil peluang ke atas ummah. Skrip kejayaan musuh menerusi detik hitam ini dapat dilihat kepada 2 perkara :
i. Ummah terus berbalah isu sektarian mazhab yang akhirnya musuh utama Yahudi tidak lagi menjadi fokus utama diberikan perhatian.
ii. Ummah berpecah kerana kuasa dan kepentingan. Terdapatnya watak tali barut Islam yang mengadakan perjanjian sulit dengan Sir Henry McMahon membelakangi Khilafah demi merebut kuasa kepentingan peribadi.
4. Hakikatnya populasi Yahudi bukanlah besar jika dibandingkan dengan kepadatan populasi masyarakat Arab yang mengeliling mereka. Namun di mana kekuatan ummah dalam menghadapi isu Palestin ini? Di sinilah, kita dapat lihat peperangan demi peperangan proksi yang tercetus antara sesama negara Arab dan pergolakan dalaman negara Arab yang diheret sehingga tercetus perang saudara hanyalah menguntungkan musuh. Akhirnya ummah bermusuh sesama sesama sendiri dan Yahudi pula tidak dilihat sebagai musuh utama sedangkan jelas peringatan dari Allah :
(وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡیَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَىِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَاۤءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِی جَاۤءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِیࣲّ وَلَا نَصِیرٍ)
Maksudnya :
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. – [Surah Al-Baqarah 120]
5. Hari ini rejim Zionis Yahudi masih meneruskan kebiadaban mereka di bumi Palestin apabila melancarkan serangan dan menceroboh Baitul Maqdis sejak 27 Ramadan baru-baru ini. Sehingga ke hari ini dilaporkan lebih 100 syahid dalam insiden ini yang turut melibatkan kanak-kanak dan wanita tanpa ada sekelumit perikemanusiaan dalam diri tentera Zionis Yahudi laktanullah ini.
6. DUPP menggesa agar negara-negara dalam jaringan OIC bangkit bersuara dengan lantang dan tegas bagi menghentikan perbuatan terkutuk ini. Liqa Arab mesti berperanan dalam isu Palestin ini kerana mereka paling hampir bahkan mengelilingi Palestin. Negara-negara jiran Palestin mesti membuka sempadan agar bantuan kepada Palestin dapat disalurkan dengan semaksima mungkin.
7. Bagi rakyat Malaysia, seruan qunut nazilah setiap solat fardhu mesti dilaksanakan. Isu yang berlaku di Palestin bukan isu asing bagi kita. Ia bukan isu untuk rakyat Palestin dan masyarakat Arab sahaja. Ia isu merentasi blok bangsa dan negara. Ia isu ummah ynag mesti dicakna oleh ummah.
8. DUPP mengharapkan kerjasama baik dari Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk mengeluarkan arahan dan panduan kepada seluruh masjid dan surau, di samping berdoa mengangkat wabak pandemik ini agar disekalikan doa serta qunut nazilah bagi isu di Palestin yang sedang bergelut ini. Rakyat Palestin berkorban nyawa dan menyambut Aidilfitri dengan darah mereka demi menjaga Baitul Maqdis untuk ummah. Maka sewajarnya kita turut bersama dengan usaha kita perjuangkan dari sudut doa, qunut nazilah, sebarang informasi dan sumbangan dana.
Firman Allah SWT :
(إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلَّذِینَ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِهِۦ صَفࣰّا كَأَنَّهُم بُنۡیَـٰنࣱ مَّرۡصُوصࣱ)
Maksudnya :
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. – [Surah As-Saf 4]
Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat,
Ahli Parlimen (Pasir Puteh)