Home Berita PAS Perlis

Muslimat Perlis sasar RM 5 ribu untuk Palestin

94
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 15 Mei: Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis (DMPNPs) mensasarkan kutipan minimum RM5000 untuk disumbangkan kepada penduduk Palestin.

Menurut ketuanya Latipah Mat, jumlah kutipan yang terkumpul nanti akan diserahkan kepada Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM).

“Sebagai tanda solidariti DMPM kepada rakyat Palestin, DMPM berhasrat untuk menyumbangkan RM100,000 yang akan disalurkan melalui PAS Relief.

“Justeru, saya dengan rasa rendah hati merayu semua umat Islam khasnya di negeri ini untuk sama-sama menyumbang kepada tabung Derma Jihad Palestin DMPNPs,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Tambah beliau, mereka yang ingin menyalurkan sumbangan kewangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Muamalat Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis bernombor 09010017574728 dengan memaklumkan kepada Bendahari DMPNPs di talian 017-5697262 untuk tujuan rekod.

Dalam pada itu, Latipah turut menyeru umat Islam supaya memperbanyak doa kepada Allah agar diberikan kemenangan kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Mudah-mudahan sumbangan doa dan wang ringgit yang kita berikan ini diterima sebagai amal ibadah di sisi Allah di samping menjadi bukti sokongan kita kepada perjuangan mereka di sana (Palestin),” ujarnya.