Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Memperbetulkan Salah Faham SIS Terhadap Undang-Undang Keluarga Islam

1754
SHARE

KENYATAAN MEDIA DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
MEMPERBETULKAN SALAH FAHAM SIS TERHADAP UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) berpendirian wujud salah faham yang ketara oleh Sisters In Islam (SIS) dalam memahami isu-isu perundangan di Mahkamah Syariah. Penilaian SIS kelihatannya tidak berpijak pada fakta semasa yang benar.

Pertama isu kelemahan pelaksanaan prosedur dan penguatkuasaan undang-undang bukan hanya terjadi di Mahkamah Syariah, tetapi turut terjadi dalam Mahkamah Sivil. Isu-isu yang dibangkitkan oleh SIS hakikatnya turut berlaku di Mahkamah Sivil namun sebagai rakyat yang mendokong kedaulatan undang-undang, DMPM menegaskan bahawa kritikan terhadap mana-mana sistem kehakiman mestilah dengan fakta yang benar serta tidak menghina Mahkamah.

Berbanding desakan untuk mengubah Hukum Syarak tanpa latar belakang disiplin pengetahuan agama yang menyakinkan, cadangan bagi memperkemaskan lagi prosedur perceraian adalah lebih diharapkan daripada SIS, selagi mana ia tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.

Kedua semua pihak perlu menerima hakikat bahawa kedatangan penjajah menjadikan Mahkamah Syariah dianak tirikan berbanding Mahkamah Sivil yang menerima hakim-hakim dari England. Sehingga hari ini, Mahkamah Syariah sepertimana juga Mahkamah Sivil masih memerlukan proses tambah baik yang berterusan.

Dalam masa yang sama Mahkamah Syariah masih perlu diperkasakan untuk berdiri sama tinggi dengan Mahkamah Sivil terutamanya dari sudut penambahan bidang kuasa, infrastruktur dan tenaga kerja. Kedudukan skim gaji hakim-hakim, bilangan dewan bersidang, jumlah hakim, penolong pendaftar dan staf-staf sokongan sangat diperlukan bagi memastikan Mahkamah Syariah dapat menyelesaikan perbicaraan kes dengan lebih efisien.

Adalah tidak adil mengkritik kekurangan Mahkamah Syariah secara berat sebelah dalam keadaan perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian telah diabaikan sekian lama.

DMPM ingin merujuk kepada Terengganu contohnya, Seksyen 27 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 telah dipinda bagi mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar bagi menyelesaikan masalah lambakan dokumen yang menyebabkankan berlakunya tunggakan Surat Perakuan Cerai (SPC) sebelum ini.

Bahkan, semua pihak yang masih tidak peka pada fakta semasa harus menyedari bahawa Hakim-hakim Mahkamah Syariah juga sangat terbuka menerima pakai prinsip undang-undang Sivil berkaitan dengan prosedur kes selagi mana ianya selaras dengan Hukum Syara’ seperti prinsip perlanjutan tempoh masa, prinsip penyalahgunaan proses mahkamah, prinsip res judicata dan lain-lain bagi memastikan pihak-pihak mendapat keadilan di Mahkamah Syariah.

Ketiga DMPM ingin menyarankan kepada SIS bahawa walaupun masih wujud kelompangan dalam Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, sebarang cadangan baru yang ingin diusulkan mestilah disandarkan kepada rujukan yang tepat daripada Al-Quran, Hadis, dan pendapat ulamak. Penafsiran kembali ayat al-Quran tanpa menggunakan metod yang betul, serta dibuat oleh pihak yang tidak mempunyai kelayakan dan autoriti akan membuka kepada tafsiran yang membuta-tuli. Keadilan kepada wanita akhirnya hanyalah satu utopia kerana cadangan yang bertentang dengan Hukum Syarak hanya akan lebih memburukkan situasi wanita Islam di Malaysia.

Justeru, Muslimat PAS sentiasa berusaha dalam memperjuangkan isu dan hak-hak wanita di Malaysia. Pihak kami juga sangat berbesar hati untuk mengadakan pertemuan bersama pihak SIS bagi memberikan penjelasan lebih lanjut dan terperinci mengenai hukum dan undang-undang keluarga Islam.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Ahli Dewan Negara
17 Februari 2020/ 23 Jamadilakhir 1441H