Home Berita PAS Melaka

Melaka benar kuliah Maghrib di surau dan masjid sepanjang PKP dengan SOP

715
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 27 Jan : Aktiviti kuliah Maghrib adalah antara aktiviti yang dibenarkan oleh kerajaan Negeri Melaka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam satu kenyataan medianya yang bertarikh 27 Januari yang dimuat naik di Facebook rasmi Ketua Menteri Melaka itu sebentar tadi.

Kenyataan media itu adalah berhubung dengan hal pengimarahan masjid dan surau; perkhidmatan nikah cerai dan rujuk serta kekeluargaan Islam dan pengoperasian tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mulai 28 Januari ini.

Menurut kenyataan itu, aktiviti masjid dan surau yang dibenarkan adalah solat Jumaat dan solat fardu lima waktu berjemaah; kuliah Maghrib; bacaan Yaasin selepas Maghrib pada hari Khamis malam Jumaat; dan Pengurusan dan solat jenazah.

“Jumlah maksimum kehadiran jemaah untuk aktiviti yang dibenarkan adalah sebagaimana berikut:

“Pertama, bagi Masjid Kerajaan, mengikut kapasiti masjid berdasarkan penjarakan fizikal satu meter dengan jumlah maksimum 500 orang.

“Kedua, bagi Masjid Kariah dan Institusi, mengikut kapasiti masjid berdasarkan penjarakan fizikal satu meter dengan jumlah maksimum 250 orang: dan

“Ketiga, bagi surau, mengikut kapasiti surau berdasarkan penjarakan fizikal satu meter dengan jumlah maksimum 75 orang,” kata kenyataan itu.

Tambah Ketua Menteri Melaka itu lagi, jumlah jemaah untuk aktiviti yang dibenarkan adalah berdasarkan kapasiti bangunan masjid dan surau yang jemaah biasa bersolat padanya dengan penjarakan fizikal satu meter sementara solat di luar bangunan masjid dan surau adalah dilarang.

“Kuliah Maghrib dan bacaan Yaasin dan tahlil pada hari Khamis malam Jumaat adalah dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan dalam tempoh masa yang sesuai. Penceramah dari luar Negeri Melaka adalah tidak dibenarkan.

“Aktiviti kuliah dan program selain kuliah Maghrib hendaklah ditangguhkan,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah beliau lagi, jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memastikan jemaah mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pendaftaran jemaah, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk solat Jumaat hendaklah solat Zuhur di rumah masing-masing.

“Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-7 pada 24 Jun 2020 dan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka pada 22 Jun 2020 telah bersetuju dengan keputusan berikut:

“Kewajipan solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat pada hari yang berkenaan dan mereka diwajibkan menunaikan solat Fardu Zuhur di kediaman masing-masing,” kata kenyataan itu lagi.

Ketua Menteri Melaka dalam kenyataan itu juga turut mengarahkan agar masjid dan surau untuk mengadakan solat hajat dan membaca qunut nazilah selepas solat Jumaat selama tiga minggu bermula dari Jumaat, 29 Januari ini bagi mendoakan keselamatan dan agar Negeri Melaka dan Malaysia dilindungi daripada wabak penyakit.