Home Berita PAS Sarawak

Media sosial ‘platform’ utama penerangan

49
SHARE

Oleh : YAT ABDULLAH

Kota Samarahan, 28 Julai 2021 : Konvensyen Penerangan PAS Negeri Sarawak yang diadakan baru-baru ini menyeru semua ahli PAS Sarawak untuk menguasai media sosial bagi membantu menjelaskan tujuan dan dasar perjuangan PAS dengan mudah.

Demikian dinyatakan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraie dalam ucapan penutupnya di konvesyen anjuran Lajnah Penerangan dan Media PAS Sarawak.

Konvensyen tersebut diadakan bagi menerangkan alternatif keberkesanan dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat, khususnya di negeri Sarawak yang di dalamnya terdapat kepelbagaian kaum, etnik dan agama dan budaya.

“Dalam keadaan kita di Sarawak, kita perlu menyampaikan maklumat kita dengan berkesan dan tujuan kita bukan sekadar menyampaikan sumbangan tetapi kita perlu juga dilihat sebagai sebuah parti yang dapat memberi khidmat kepada rakyat Sarawak,” tegas beliau.

Penyertaan konvensyen turut dihadiri daripada barisan ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak, Dewan-dewan Negeri dan PAS Kawasan.

“Unit penerangan haruslah berfungsi untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar parti sekaligus meningkatkan sokongan rakyat terhadap parti dan pemerintahan semasa,” ujar beliau.

Tambahan, beliau juga mengingatkan semua ahli agar menggunakan alternatif yang berkesan, mudah difahami dan mudah diakses bagi menyalurkan maklumat kepada masyarakat agar persepsi yang tidak baik mengenai PAS yang bertapak di Sarawak dapat dibendung.