PERANAN media begitu penting dalam masyarakat khususnya melaporkan penderitaan dan kesusahan hidup rakyat.
Tengku Puan Temenggong Kelantan, Puan Seri Tunku Norhayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj bertitah, tanpa pendedahan media orang ramai tidak mengetahui nasib sesetengah masyarakat.
Katanya, golongan korporat atau individu lain akan tampil membantu apabila adanya pendedahan media berkaitan kesusahan hidup mereka.
“Dengan cara ini sama ada kerajaan negeri, syarikat tertentu atau orang ramai dapat membantu,” titah baginda lagi.
Baginda bertitah demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 155 pelajar berupa pakaian, beg dan peralatan sekolah di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujuh, Tumpat semalam.
Turut hadir isteri Menteri Besar Kelantan Datin Siti Zabedah Abdul Hamid, Ketua Kajajahan Tumpat, Rosnazli Amin. Sumbangan berkenaan ditaja Yayasan Noor Al Syakur dan Ranhill Water Service. – HARAKAHDAILY 15/12/2017