Home Berita PAS Kedah

MB Kedah santuni mangsa banjir Selangor

392
SHARE

Oleh MOHD AJMAL ALI

HULU LANGAT, 28 Dis – Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Awang Hashim turun padang meninjau kerja pembersihan kesan banjir yang dijalankan oleh sukarelawan agensi kerajaan negeri dan Khidmat Malaysia Kedah di Kampung Batu 20 Sungai Lui, semalam.

Beliau bersama Timbalan Menteri dibawa menyantuni beberapa keluarga banjir. Menteri Besar menzahirkan rasa simpati dan berdukacita dengan keadaan mangsa banjir yang kerugian harta benda dan kehilangan nyawa ahli keluarga.

“Kita ada pengalaman tempias ombak Tsunami beberapa tahun dulu di Kuala Muda dan terbaru banjir lumpur akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai hampir sama seperti banjir lumpur di sini.

Dengan pengalaman itu, kita dapat jangka berapa aset dan jumlah sukarelawan diperlukan untuk pemulihan kawasan bencana. Jadi, 500 sukarelawan hari ini hadir membantu mangsa banjir di sini,” ujar beliau kepada media.

Jamaliah Ahmad Rus, 66 berkata keluarganya merupakan antara yang mangsa banjir yang terakhir meninggalkan rumah kerana tidak sedar air banjir mulai naik.

“Air dah mula naik di halaman rumah. Kami tengok keadaan luar rumah dengan lampu suluh sahaja disebabkan terputus bekalan elektrik. Itu yang menyebabkan kami tidak tahu air telah naik dan keadaan berbahaya.

“Orang kampung datang selamatkan makcik sekeluarga seramai lima orang ke surau. Sampai di surau, orang kampung dah ramai sekitar 40 orang penduduk kampung,” ujarnya.

Tambah Jamaliah, keadaan makin mencemaskan apabila air mulai naik ke ruang solat surau dan mereka terpaksa selamatkan diri di ruang bumbung surau yang lebih tinggi.

“Ketika itu paras air semakin naik, kami terus memecahkan siling menggunakan penghadang ruang solat wanita dan kami bermalam di atas sana sehingga air surut keesokan paginya,” ujarnya lagi.