ALOR SETAR – Seluruh rakyat Negeri Kedah dirayu dan diingatkan supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang dilihat telah kembali merebak sejak kebelakangan ini serta mengakibatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula di lima daerah di Kedah.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan kepada seluruh rakyat Kedah supaya mengamalkan sikap ambil peduli dengan arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa samada di peringkat negeri mahupun peringkat persekutuan.
“Saya ingin menegaskan di sini, bagi rakyat Kedah yang tidak sihat sama ada demam, batuk, selsema dan lain-lain supaya tidak hadir ke tempat-tempat yang ramai orang terutamanya di masjid, surau, bazar-bazar Ramadan dan Aidilfitri, majlis tadarus, bacaan yasin serta majlis berbuka puasa dan lain-lain.
“Pihak kami mendapati banyak kes yang telah berlaku di Negeri Kedah akhir-akhir ini berpunca daripada pergaulan antara orang yang tidak sihat dengan orang ramai menyebabkan penularan wabak Covid-19 telah kembali dan mencipta beberapa kluster baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.
Dalam perkembangan yang sama, Sanusi turut meminta kerjasama daripada penganjur apa-apa juga majlis dan bazar di negeri ini supaya memastikan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan dengan menyediakan alat pengimbas suhu, memakai pelitup separuh muka dan menggunakan hand sanitizer.
“Kerajaan terpaksa membenarkan aktiviti ekonomi terus berjalan bagi memberi kemudahan kepada rakyat dengan membenarkan operasi perniagaan di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri supaya rakyat boleh menambah pendapatan. Maka semua rakyat hendaklah patuh kepada arahan yang dikeluarkan bagi sama-sama melindungi diri dan orang lain.
“Jika orang ramai tidak patuh kepada arahan-arahan yang dikeluarkan, maka pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan melalui undang-undang. Oleh itu, diminta supaya kita semua dapat memberikan kerjasama,” tegasnya.