Home Berita PAS Kelantan

Masyarakat bukan Islam tetap diutama

882
SHARE

KOTA BHARU: Masyarakat bukan Islam di Kelantan tidak pernah disisih, malah mereka sering diberi perhatian kerajaan negeri.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, adalah menjadi tuntutan Islam bagi menjaga keharmonian kaum di negeri tersebut.

Menurutnya, kaum bukan Islam perlu dijaga sebaiknya dan setiap tindak tanduk yang dilakukan diharap tidak menimbulkan rasa kurang selesa sehingga menjejaskan kesejahteraan masyarakat.

“Alhamdulillah di Kelantan kita telah terapkan usaha sedemikian sejak awal pentadbiran kerajaan negeri pada 1990.

“Program kesejahteraan rakyat diberi keutamaan tanpa mengira latar belakang dan perbezaan anutan agama,” ujarnya pada jamuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Dataran Cheng Ho malam tadi.

Turut berangkat menghadiri program itu Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Dato’ Zamri Ismail dan Presiden Gabungan Tiong Hwa Kelantan, Oie Poh Chun.

Lebih 6,000 orang masyarakat Cina dan penduduk tempatan memeriahkan program tersebut di mana ia dianjurkan MPKB-BRI dan Gabungan Teong Hwa Kelantan. –HARAKAHDAILY 28/2/2018