Home Berita PAS Negeri Sembilan

Mangsa banjir trauma: Muslimat PAS hulurkan tangan ringankan beban

174
SHARE

Oleh RUSILAH MD SOM

REMBAU, 6 JANUARI: Banjir yang berlaku akibat hujan lebat yang turun pada awal tahun baru yang lalu menyebabkan ramai mangsa banjir di beberapa lokasi telah mengalami trauma, namun kehadiran Dewan Muslimat PAS Rembau (DMPKR) bersama sukarelawan diumpamakan bagai pepatah “hulurkan tangan ringankan beban.”

Ahli Jawatankuasa (AJK) DMPKR di bawah pimpinan Azamah Awang, Zahrah Zainuddin serta sukarelawan yang diketuai oleh Suzila Sabeh datang membantu membersihkan beberapa buah rumah di Kampung Pasir Besar yang teruk dilanda banjir, kelmarin.

Menurut AJK DMPKR, Zahrah Zainuddin, beliau menyatakan bahawa terlalu dahsyat banjir yang melanda di kampung tersebut kerana beliau mendapati kesan-kesan banjir telah meninggalkan lumpur yang amat tebal sehingga sukar untuk dibersihkan.

Namun, segala kesukaran itu dapat di atasi apabila kehadiran muslimat PAS Rembau bersama sukarelawan berganding bahu membantu membersihkan rumah-rumah mangsa banjir di kampung tersebut.

Azamah Awang yang turut serta dalam misi bantuan pasca banjir tersebut merasa terharu apabila mendengar kisah daripada seorang penduduk yang dikenali sebagai Mohd Nizam.

Menurut Azamah, Mohd Nizam betul-betul trauma kerana pengalaman pertama kali dilanda banjir yang amat dahsyat kerana kediaman beliau hanya lebih kurang 500 meter daripada tebing sungai Jelai, Sungai Besar.

Sehubungan itu, Mohd Nizam merasa terharu dengan misi bantuan banjir anjuran PAS Negeri Sembilan dan merasakan bantuan yang dihulurkan itu dapat meringankan bebanan yang menimpa keluarga beliau.

Misi pasca banjir yang melanda beberapa kampung di beberapa daerah Tampin pada kali ini telah diselaraskan oleh Khidmat Malaysia Negeri Sembilan bersama Khidmat Malaysia Tampin.