Home Berita PAS Perak

Selepas Selangor, Misi Bantuan Banjir PAS Bukit Gantang turun ke Pahang

66
SHARE


Oleh : Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG – Seramai 35 sukarelawan PAS Kawasan Bukit Gantang selamat tiba di Bentong, Jumaat lalu dalam menjayakan Misi Bantuan Banjir di negeri tersebut.

Sukarelawan bergerak dengan tujuh buah kenderaan terdiri daripada empat pacuan 4 roda, tiga kereta dan sebuah van berkampung di Maahad Tahfiz Dar Al-Abrar sebelum memulakan gerakerja membersihkan sebuah surau dan beberapa buah rumah di Taman Harmoni, Bentong pada hari pertama.

Pada hari kedua, para sukarelawan yang terdiri daripada Jabatan Amal, Khidmat Malaysia, Briged Muslimat dan Ameerah Malaysia berjaya membersihkan tiga buah rumah termasuk sebuah butik pengantin dan restoran di Kampung Benus.

Ketua Misi Bantuan Banjir PAS Kawasan, Zulkefly Ahmed mengucapkan ribuan terima kasih kepada para sukarelawan dari pelbagai komponen parti yang bertungkus-lumus menjayakan gerak kerja amal ini.

“Terima kasih juga kepada para penderma yang sudi menyumbang dana bagi menjayakan misi di Kuala Langat, Selangor dan Bentong, Pahang. Dari hasil sumbangan mereka, pada hari ketiga kami mengagihkan kira-kira 110 dapur gas memasak kepada penduduk Kampung Benus dan Perumahan Awam Kampung Bukit Piatu.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan menambah, sebuah jentera pengaut dan lori telah disewa selama dua hari untuk membersihkan lumpur serta sampah-sarap akibat banjir. Kerja-kerja pembersihan tersebut dipantau sendiri Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Roslan Mad Esa.

“Selain mengharapkan ganjaran yang besar di sisi Allah, program selama tiga hari ini telah mengeratkan silaturrahim sesama sukarelawan, menimba pengalaman dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan mereka bersemangat tinggi untuk menyertai aktiviti seumpama ini di masa hadapan,” katanya.

Turut menyertai misi kali ini ialah Yang Dipertua PAS Kawasan, Haji Rahim Ismail, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Muhammad Faisal Abdul Rahman dan Komandan Khidmat Malaysia Kawasan, Zulkhairi Karim.