Home Berita PAS Melaka

Mak Piah, tokoh istiqamah DMPNM terima Darjah Seri Melaka (DSM)

1855
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

HANG TUAH JAYA, 1 Nov : Tokoh istiqamah Muslimat PAS Melaka, Hajah Shopiah Ahmad, atau lebih mesra dipanggil ‘Mak Piah’, 71, hari ini menerima anugerah Darjah Seri Melaka (DSM).

Anugerah ini diterima beliau sempena sambutan Hari Jadi yang ke 71, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Negeri di sini pagi tadi.

Mak Piah yang berasal dari Kampung Terentang, Jasin Melaka ini dilahirkan pada 24 Januari 1949.

Menurut Mak Piah, anugerah yang beliau terima ini bukanlah untuk beliau seorang namun ia adalah satu penghargaan untuk seluruh warga jemaah PAS Melaka terutama Dewan Muslimat PAS Melaka.

“Kita berjuang bukan untuk pingat tapi kita berjuang kerana kita ada asas perjuangan. Ia juga satu penghargaan kepada muslimat yang selama ini tidak dikenali.

“Setapak ke setapak kita akan terus berjuang bersama-sama di dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.” ujar beliau.

Mak Piah mempunyai seorang anak, Furqan Mohammed Husain, hasil perkahwinannya dengan suami tercinta Mohammed Hussain Paimin, namun suaminya itu telah kembali ke rahmatullah sekitar tahun 2006.

Selain aktif politik beliau juga merupakan seorang pendidik yang pernah mengajar di beberapa buah tadika dari tahun 1970 hingga 1983 antaranya ialah di Tadika Belia 4B, Tadika Risda dan Tadika Kemas selain pernah mengajar di Madrasah Ansarul Sunnah dari tahun 1970 hingga 1976.

Beliau mempunyai sejarah yang panjang dalam memimpin Dewan Muslimat PAS di pelbagai peringkat di Negeri Melaka ini memandangkan beliau mula aktif di dalam PAS semenjak berada di dalam tingkatan tiga ketika di bangku sekolah menengah lagi.

Beliau adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin (DMPKJ) selama 47 tahun iaitu dari tahun 1970 sehingga 2017 yang mana pada ketika mula memegang jawatan itu (1970) beliau baru berusia 21 tahun.

Bukan setakat itu sahaja, malah pada tahun 1970 itu juga beliau telah dipilih sebagai Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM) dan memegang jawatan itu selama 14 tahun sehingga tahun 1984.

Sementara pada tahun 1984 pula beliau dipilih sebagai Ketua DMPNM dan memegang jawatan itu selama 17 tahun iaitu sehingga tahun 2001.

Bermula tahun 2001 pula beliau memegang semula jawatan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka sehingga tahun 2013.

Beliau kini adalah Pengerusi Assabiqat (veteran) Muslimat Melaka dan masih menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) DMPNM.

Darjah Seri Melaka (DSM) yang diterima Mak Piah ini mula dikurniakan pada tahun 1971 kepada orang perseorangan yang telah memberi perkhidmatan dan bakti terpuji kepada Negeri Melaka ini tidak membawa sebarang gelaran.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)