Home Berita PAS Melaka

Mahu Assabiqun naik taraf kepada Dewan – Ustaz Mokhtar Senik

212
SHARE

Oleh IBNU JANIE
Foto HANIFF ABD RAHIM

ALOR GAJAH, 20 Feb: Pengerusi Lajnah Assabiqun Dewan Ulamak PAS Malaysia (DUPM), Ustaz Mokhtar Senik berharap agar lajnah ini dapat dinaiktaraf kepada Dewan Assabiqun pada masa akan datang.

Menurut beliau, DUPM sedang mengusahakan agar perkara ini diangkat sebagai usul bagi dibawa ke Muktamar PAS Pusat agar Assabiqun setaraf dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

“Semalam (Jumaat), dalam retreat Dewan Ulamak, Assabiqun bercadang mengusulkan kepada PAS Pusat, (menaik taraf) Assabiqun sebagai Dewan. Itu nak diusulkan dan dicadangkan.

“Dan saya berharap kita akan jadikan Assabiqun sebagai Dewan yang aktif bersama dengan Dewan-dewan yang lain. Ingat Dewan Pemuda saja boleh aktif? Ingat Dewan Muslimat saja boleh aktif?” ujar beliau berseloroh sambil disambut tawa hadirin.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taujihat semasa majlis Perasmian dan Pelancaran Gerak Kerja Lajnah Assabiqun, Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka (DUPNM) yang berlangsung di Darul Barakah Al Ghoniah, Gadek, Alor Gajah pada malam semalam.

Ustaz Mokhtar dalam ucapannya itu turut berharap agar platform Assabiqun ini digunakan oleh ahli-ahli PAS sebagai gerak kerja berterusan sehingga akhir hayat di dalam perjuangan ini.

“Insya-Allah kita gerakkan kerja kita, usaha kita, agar usia kita habis dalam perjuangan ini. Kita tengok orang mati solat Duha baru-baru ni. Mati tengah sujud.

“Mengapa dia mati tengah sujud? Dia mati tengah sujud sebab bukan baru hari tu dia solat Duha. Dia dah lama solat Duha. Sebab itu dia mati tengah solat Duha.

“Maka kalau kita nak mati dalam perjuangan PAS ini jangan berhenti daripada aktif dalam PAS. Insya-Allah kita mati dalam perjuangan PAS tuan-tuan. Untuk kita menegakkan Islam,” ujar beliau bersemangat.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya sebelum itu menzahirkan rasa kagum dengan kesungguhan Pengerusi Lajnah Assabiqun Dewan Ulamak PAS Melaka, Ustaz Abdul Wahab Dawam yang menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menggerakkan lajnah ini.

Menurut Bakri, walau pun Ustaz Abdul Wahab bukanlah anak jati Melaka namun kesungguhannya itu telah menyumbang kepada pembangunan PAS Melaka terutama DUPNM.

“Bila Allah SWT nak mengangkat agama kita, mengangkat perjuangan kita di Melaka ini, Allah SWT datangkan ayahanda Abdul Wahab Dawam daripada Perak,” ujar beliau dengan disambut laungan takbir oleh para hadirin.

Beliau turut menyifatkan pergerakan aktiviti Ustaz Wahab dalam memimpin Lajnah Assabiqun DUPNM ini sebagai luar biasa.

Bakri juga berharap agar beliau dapat bekerjasama baik dengan Pengerusi Lajnah Assabiqun PAS Melaka, Hassan Md Dahan dalam memajukan lagi lajnah ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Malaysia, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka di mana Ustaz Abdul Wahab Dawam turut menyampaikan ucapan alu-aluan pada awal majlis.

Antara pimpinan yang hadir bersama di majlis ini ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka, Tuan Guru Maulana Mohd Khairy Abdul Aziz, Pengerusi Assabiqun PAS Melaka, Hassan Md Dahan, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Al-Hafiz Yahya dan beberapa orang ahli jawatankuasa PAS peringkat negeri.

Terdahulu pada sebelah paginya Ustaz Mokhtar bersama rombongannya telah menziarahi beberapa orang tokoh assabiqun yang merupakan mantan pimpinan PAS Negeri Melaka antaranya ialah mantan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Jalaluddin Abdul Wahid dan adindanya Ustaz Jamiludin Abdul Wahid serta mantan Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Mohd Diah Abdul.