Home Berita PAS Melaka

Assabiqun lama dicaci cela kerana perjuangkan politik Islam – TG Zulkifli

163
SHARE

Oleh IBNU JANIE
Foto LURIMA

ALOR GAJAH, 20 Feb:  Golongan Assabiqun adalah pejuang-pejuang yang sudah lama merasai celaan dan cacian sejak usia mereka masih muda sehingga menjangkau umur mereka sekarang kerana memilih perjuangan politik Islam, kata Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Tambah beliau, golongan Assabiqun ini menjadi bukti terhadap inayah dan riayah daripada Allah SWT kepada mereka yang berjuang di dalam PAS.

“(Mereka) Berjuang di dalam PAS daripada usia yang muda, bersusah-payah dicela, dicaci, difitnah. Dilakukan berbagai-bagai gangguan dan halangan yang merupakan asam garam kepada perjuangan Islam yang berlandaskan al-jihad fi sabilillah,” ujar beliau.

Menurut Tuan Guru Zulkifli, ini selaras dengan apa yang dinyatakan Allah SWT di dalam Al-Quran iaitu ‘mereka itu berjuang untuk menegakkan agama Allah dan mereka itu tidak sekali-kali merasa gusar, takut kepada cacian orang-orang atau para-para pencaci.’

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka menyatakan perkara ini ketika merasmikan Pelancaran Gerak Kerja Lajnah Assabiqun, Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka (DUPNM), yang berlangsung di Darul Barakah Al Ghoniah, Gadek, Alor Gajah, malam.semalam.

Tambah beliau lagi, perkara seperti ini tidak akan berlaku sekiranya mereka sekadar menyertai organisasi dakwah yang tidak terkait dengan politik.

“Ini yang orang PAS hadapi apabila mereka berada di dalam PAS. Kalau mereka berada di dalam gerakan dakwah semata-mata maka tangan mereka dicium; mereka dihampar dengan permaidani; majlis-majlis mereka penuh dengan kemeriahan sebagai tanda terima kasih daripada mereka yang hadir atas bimbingan dan nasihat yang disampaikan.

“Tetapi dalam perjuangan yang berlandaskan jihad yang terpaksa bertempur dan berdepan kepada pembela-bela kebatilan, maka mereka yang berjuang dalam perjuangan itu asam garamnya ialah cacian, makian, daripada mula berjuang, sehinggalah mereka menutupkan mata mengadap Allah SWT dalam keadaan yang istiqamah,” ujar beliau.

Kata beliau, Assabiqun ini adalah merupakan kumpulan manusia yang menjadi petunjuk dan bukti inayah Allah SWT kepada mereka yang berjuang di dalam PAS kerana dari muda mereka melalui segala ujian sehingga tua mereka tetap istiqamah.

“Kalau mereka tidak ikhlas mustahil mereka akan duduk dalam PAS. Mustahil! Mustahil!” tegasnya lagi.

Di dalam majlis yang sama, Pengerusi Lajnah Assabiqun Dewan Ulamak PAS Malaysia (DUPM), Ustaz Mokhtar Senik turut diberi penghormatan bagi menyampaikan taujihat selepas selesai solat Isyak.

Turut menyampaikan ucapan ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin dan Pengerusi Lajnah Assabiqun DUPNM, Ustaz Abdul Wahab Dawam.

Antara pimpinan yang hadir bersama di majlis ini ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka, Tuan Guru Maulana Mohd Khairy Abdul Aziz, Pengerusi Assabiqun PAS Melaka, Hassan Md Dahan, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Al-Hafiz Yahya dan beberapa orang ahli jawatankuasa PAS peringkat negeri.