Home Berita PAS Kelantan

MAHAR DINAR DIRHAM TERUS POPULAR DI KELANTAN

1866
SHARE

oleh Norzana Razaly

PASIR PUTEH – Perkahwinan bermaharkan mata wang sunah Dinar emas dan Dirham perak keluaran Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd. (KGT), anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) terus menjadi sohor kini dalam kalangan masyarakat yang celik emas.

Bersempena tahun 2020, seorang belia kelahiran Kampung Bukit Abal, Mohd Shukri Mat Yasin, 37, bertindak bijak menambah nilai mengikut sunah dengan pemberian mahar sebanyak 10 Dinar 10 Dirham kepada isterinya, Nurul Huda Yusoff di dalam upacara akad nikah yang berlangsung di rumah pihak pengantin di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh pada 24 Februari 2020.

Menurut Mohd Shukri, sejak mendengar Kerajaan Negeri Kelantan menempa mata wang sunah tersebut pada tahun 2010, beliau terus berniat mahu memartabatkan kemuliaan isteri bermaharkan Dinar Dirham Kelantan.

“Hampir sedekad saya menukar wang kertas kepada wang emas dan perak daripada permulaan tukaran fiat sebanyak RM680 sehingga kepada harga RM850 untuk 1 Dinar dan RM13-RM20 untuk 1 Dirham. Alhamdulillah, 1 Dinar sudah pun mencecah RM994 pada 8 Januari 2020, memang berbaloi”, ujarnya kesyukuran.

Mohd. Shukri turut mengucapkan terima kasih kepada pihak imam Masjid Sri Aman dan keluarga pengantin yang memudahkan urusan pernikahannya bermaskahwinkan mata wang sunah Dinar Dirham seperti amalan Rasulullah SAW terhadap isterinya sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim, dari Abu Salamah bin Abdurrahman dia bercerita:

“Saya pernah bertanya kepada ‘Aisyah, isteri Nabi SAW; “Berapakah mahar Rasulullah SAW?” Dia menjawab; “Mahar beliau terhadap para isterinya adalah dua belas uqiyah dan satu nasy. Tahukah kamu, berapakah satu nasy itu?” Abu Salamah berkata; Saya menjawab; “Tidak.” ‘Aisyah berkata; “Setengah uqiyah, jumlahnya sama dengan lima ratus dirham. Demikianlah maskahwin Rasulullah SAW untuk masing-masing isteri beliau.”” (HR. Muslim)- UPKN KELANTAN 28/01/2020

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2587259041508447