Home Artikel PAS Johor

Mahabbah Muslimat PAS & Wanita Umno : Suatu Lakaran Sejarah Di Bumi Johor

343 views
SHARE

TAUTAN MAHABBAH MUSLIMAT PAS & WANITA UMNO : Suatu Lakaran Sejarah Di Bumi Johor

 

Setinggi-tinggi tahniah kepada Briged Muslimat Johor yang telah berjaya menzahirkan ‘izzah PAS dalam Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Pulai malam tadi.
Bersama Yang Berbahagia ,Pn.Hjh.Asiah Binti Md.Ariff(Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Johor). YB Nor Rashidah Ramli (ADUN Parit Raja) dan YB Rashidah Ismail ( ADUN Pasir Raja). Turut bersama Puan Norsiyati Mamat (AJK DMPNJ ) seusai jamuan makan malam sebelum bermula program Ceramah Perdana Penyatuan Ummah.

1 Mei 2019(Rabu): Walaupun antara kami baru pertama kali bersua ,namun kemesraan yang terjalin dan termeteri malam tadi , seolah -olah dirasakan telah terjalin bertahun lamanya . Saya begitu optimis,inilah yang dialami oleh semua pimpinan dan muslimat PAS, bila bersama Wanita UMNO walau di mana jua berada.

Asas yang mengikat tautan hati ini ialah bila telah bertemu suatu titik pertemuan dan persamaan ,atas sebab apa hubungan ini terjalin .Pastinya sudah tentu ,penyatuan ummah atas dasar Islam yang telah mengikat erat hati -hati kami di bumi Johor ini.

Bila situasi ini terjadi ,segala perbezaan pendapat dan pendirian politik berbeza,bukanlah menjadi halangan kerana ini adalah nilai yang boleh diurus dengan sebaiknya serta penuh cermat .

Selagi semangat muafakat dan hubungan ukhuwwah ini berpaksi kepada mencari redha ALLAH SWT dan matlamat perjuangan demi Islam menjadi sandaran kukuh ,maka hasrat yang bakal dan telah digembleng bersama pasti akan membuahkan kemanisan dalam perjuangan , terutama berkaitan isu agama ,kedaulatan raja-raja,hak istimewa orang Melayu selaku pribumi dan masa depan Malaysia yang telah merdeka 53 tahun lamanya.

Dalam program Ceramah Perdana Penyatuan Ummah Peringkat Negeri Johor malam tadi ,perbualan secara santai dan penuh mesra sambil menyaksikan Ceramah Perdana Penyatuan Ummah , menyerlahkan sikap lapang dada dan jiwa besar di kalangan kaum hawa sebagai sayap perjuangan parti yang patuh terhadap arahan pucuk pimpinan parti masing -masing , untuk menjalin kerjasama dan muafakat ke arah penyatuan ummah demi Islam .

Tautan mahabbah dan kemesraan yang dipupuk tanpa rasa kekok seolah -olah seakan telah saling mengenali dan berkawan lama , menyerlahkan keakraban yang utuh dan jitu di kalangan kedua -dua parti terbesar Melayu ini terutamanya dari pimpinan kaum hawa.

Program anjuran UMNO Negeri Johor & PAS Negeri Johor pada 1hb Mei 2019 ,bertepatan hari Rabu yang kebetulan bersamaan dengan cuti umum sempena Hari Pekerja ini ,telah berlangsung meriah bertempat di
Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru,Johor.

Antara penceramah yang diundang ialah
YB Dato’ Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
merangkap Ahli Parlimen (AP) Lenggong.

Turut diundang ialah Al-Fadhil Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi,
Ketua Penerangan PAS Malaysia .Walau bagaimana pun ,beliau kebetulan tidak dapat hadir di saat akhir atas faktor kesihatan yang kurang mengizinkan .

Kehadiran YB. Datuk Ir Hasni Bin Hj Mohammad
,Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut yang juga menyampaikan ceramah menyerikan suasana di samping kehadiran Al-Fadhil Ustaz Abdullah Husin,
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor yang menyampaikan ceramah diselangi dengan unsur kecindan cukup memeriahkan suasana terutama alunan nasyid yang cukup menyentuh perasaan telah mencuri tumpuan .

Terasa sebak saat kedua -dua buah parti teras Melayu Islam ini melaungkan kalimah Allahu Akbar dan gema takbir diungkapkan di dewan yang permai ini .

Semoga tautan mahabbah ini terus terjalin erat buat selamanya, selagi prinsip perjuangan Islam menjadi landasan penting sebagai sandaran kukuh dalam wadah perjuangan membangunkan ummah di Malaysia yang tercinta ini .

“Penyatuan Ummah Demi Islam”.
“Islam Memimpin “.
“Islam Memimpin Wanita Sejahtera”.

Nukilan rasa :
NORMALA SUDIRMAN(CIKGU MALA).
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Negeri Johor.
Merangkap
AJK Dewan Muslimat PAS Malaysia sesi 2017/2019.