KOTA BHARU, 6 April: Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yakob merakamkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kerana telah memulakan semula Program Madinah Ramadan setelah dua tahun sunyi untuk solat berjemaah akibat pandemik.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Madinah Ramadhan 1443H semalam, di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV.
Menurut YAB Ustaz Dato’ Ahmad, ekoran kesan yang baik dari program Madinah Ramadan, kerajaan telah bersetuju untuk mengadakan satu kompleks Madinah Ramadan di Bandar Baru Tunjong yang tapaknya seluas lebih lapan ekar kerana ianya dapat mengikat rasa persaudaraan yang ingin bermunajat kepada Allah serta menzahirkan diri untuk melaksanakan titah perintahNYA.
Tambahnya lagi, di sana nanti akan diadakan bahagian-bahagian tertentu seperti kios dan Akademi al-Quran yang selama ini diseliakan oleh Syeikh Hisyam Abdelbary Mohamad Rageh.
“Kita akan luaskan peranan Madinah Ramadan atau apa-apa yang berkaitan dengan al-Quran, mungkin di sana nanti akan ada bahagian yang mengkaji tentang ilmu-ilmu yang tersirat di dalam al-Quran di samping mengadakan kelas taranum , kelas tajwid dan insyallah akan adakan juga pameran-pameran yang berkaitan dengan al-Quran,” katanya.