Home Berita PAS Kelantan

Loji Biogas guna sisa organik bekalkan tenaga elektrik

414
SHARE

BACHOK, 6 Dis: Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PSPM) selaku operator Tapak Pelupusan Beris Lalang (TPBL), menerima 380 tan sisa pepejal sehari daripada empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu, Majlis Daerah Pasir Puteh, Majlis Daerah Ketereh dan Majlis Daerah Bachok, sejak Mei 2018.

Bagi memanjangkan lagi jangka hayat TPBL, anak syarikat Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings (KUMH ) itu berkerjasama dengan SC Green Sdn Bhd untuk membina loji biogas bagi mengurangkan 50 peratus sisa pepejal harian.

Exco Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr Izani Husin memaklumkan loji biogas tersebut menggunakan sisa organik untuk menghasilkan gas untuk menjana elektrik.

Menurutnya, SC Green Sdn Bhd memperoleh kuota 1.2 Mw daripada Suruhanjaya Tenaga bagi membekalkan tenaga elektrik yang dijana oleh loji biogas itu kepada grid nasional.

“Selain TPBL Bachok, pihak KUM/PSPM juga sedang dalam proses mengambil alih operasi Tapak Pelupusan Tumpat dan Tapak Pelupusan Tanah Merah daripada PBT berkenaan. Matlamat akhir pihak kerajaan adalah semua tapak pelupusan di Kelantan diambil alih oleh KUM/PSPM untuk diuruskan sebaik-baiknya menggunakan teknologi dan inovasi terkini agar jangka hayat setiap tapak sedia ada mahu pun yang baharu dapat dipanjangkan,” jelasnya.

Di samping itu, PSPM juga membina Material Recovery Facility (MRF) untuk mengasingkan sisa pepejal organik dan bukan organik.

“70 peratus daripada sisa bukan organik seperti plastik, kertas, besi dan kaca akan dikitar semula manakala sisa organik dan sisa dapur di hantar ke loji biogas atau fasiliti Black Soldier Fly (BSF).
BSF menggunakan sisa ini sebagai bahan makanan. Hasilnya ialah penetasan larva BSF yang boleh dijual sebagai makanan ikan hiasan, ayam dan ternakan eksotik,” ulasnya.

Tambahnya, PSPM juga akan membuat aktiviti Landfill Mining pada Februari 2023. Melibatkan proses menggali semula sisa pepejal sedia ada (legacy waste) untuk diasingkan sebagai bahan kitar semula dan baja kompos. Aktiviti tersebut dapat mengurangkan sisa pepejal sedia ada dan memberi ruang sisa pepejal harian yang baharu dihantar ke kawasan yang telah dikosongkan.