Home Berita PAS Johor

Lensa Maharani | Sekitar majlis kesyukuran kemenangan Dun Maharani

209
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

MUAR, 2 April : Majlis kenduri kesyukuran sempena kemenangan N15 Dun Maharani telah diadakan bertempat di Pusat Komuniti PAS, Parit Tarom di sini, semalam.

Majlis yang bermula jam 5.00 petang itu diadakan untuk meraikan para petugas jentera Pilihan raya Negeri Johor pada 12 Mac lalu.

Antara jemputan yang turut hadir meraikan majlis sempena kemenangan Adun Maharani, YB Cikgu Abd Aziz Talib ialah Khairul Faizi Ahmad Kamil, Penolong Setiausaha Agong PAS Pusat, Ustaz Abdullah Hussin, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Hakimi Mohamad, ahli Badan Perhubungan Negeri Perlis, Basut Nin, Ketua BERSATU Bahagian Muar dan ketua-ketua PAS kawasan.

Ustaz Abdullah Hussin dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional Muar yang telah sama-sama berusaha untuk membantu kemenangan di Dun Maharani.

“Kemenangan Dun Maharani akan dapat memberi contoh kepada Dun-dun lain untuk mempelajari pengalaman persiapan jentera pillihan raya untuk pilihan raya akan datang”, ujarnya.

Sementara Khairul Faizi pula melahirkan rasa optimis kerana dengan kemenangan Dun Maharani akan dapat membakar semangat kepada negeri-negeri lain membuat persiapan yang terbaik untuk mencapai kemenangan dalam PRU 15 nanti.

Tambah beliau, “Perikatan Nasional mampu memberikan saingan kepada parti-parti lain dalam PRU 15. Dalam PRN Johor lalu, jelas menunjukkan pertambahan sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional khususnya pengundi muda,”.

YB Cikgu Abd Aziz mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua jentera yang terlibat khususnya Dewan Pemuda dan Muslimat Muar, Dewan Ulama, Assabiqun, Ameerah, Jabatan Amal, ARC, BERSATU Muar, negeri bantu Selangor dan penyokong-penyokong serta ahli PAS.

Majlis berakhir jam 10.00 malam dengan sesi penyampaian cenderahati dan sesi bergambar.