Home Berita PAS Kelantan

Lengkapkan aktiviti Ramadan dengan membaca

82
SHARE

TUMPAT, 4 April: Ramadan tiba mengingatkan kita kepada wahyu pertama, Iqra’ yang menekankan kepentingan membaca.
Inilah masa terbaik untuk melengkapkan jadual Ramadan dengan memperbanyakkan aktiviti membaca al-Quran bersama terjemahannya dan memahami maksud firman Allah SWT dengan merujuk kitab para ulama. Di samping buku-buku lain yang memberi ilmu yang berguna dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Demikian kenyataan Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Che Abdullah Mat Nawi selaku pencetus idea Pertandingan Membaca Buku Terbanyak Parlimen Tumpat.

Program julung kali ini diadakan di Kelantan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah Tumpat serta Perpustakaan Negara tersebut dilancarkan di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujuh, 27 Mac, lalu.

“Saya mencetuskan program ini supaya semangat Iqra’ itu dapat mengubah cara dan sikap masyarakat berfikir khususnya generasi muda yang perlu tahu bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya.

“Mudah-mudahan program seumpama ini dapat membakar semangat para pelajar dan belia kita untuk membudayakannya dengan memperuntukkan masa khas untuk membaca,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, tabiat membaca mesti menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat kerana kejayaan sesebuah negara mampu ditempa natijah sikap bangsanya yang suka membaca.

“Budaya membaca ini patut digalakkan kepada setiap lapisan masyarakat. Ibu bapa juga mesti menjadikan membaca sebagai satu budaya keluarga untuk dorongan anak-anak juga suka membaca. Kita harap, melalui budaya membaca, generasi muda hari ini lebih bersikap bertanggungjawab dan cakna sosial kemasyarakatan berbanding asyik leka dengan keseronokan yang melalaikan,” jelasnya.

Beliau menyeru warga Tumpat menyertai pertandingan membaca yang bermula pada 1 April hingga 31 Mei kelak. Johan bakal menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan naib johan RM700, manakaka ketiga RM500, serta 20 hadiah saguhati RM50 bagi setiap kategori, selain pemenang juga menerima sijil dan piala.

Penilaian akan dibuat oleh Pustakawan Kelantan, Pustakawan Institut Pendidikan Guru Pengkalan Chepa dan Pensyarah Universiti Teknologi Mara Kota Bharu kepada penyertaan kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan umum.