ALOR SETAR, 4 Ogos 2021: Sehingga Ogos, lebih RM3.157 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri dalam bantuan bakul makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menurut Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata sebanyak 19,000 bakul makanan tambahan diberikan pada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) mengikut keperluan daerah masing-masing.
“Saya harapkan orang ramai untuk terus hubungi PKOB jika terdapat terputus bekalan makanan untuk kita segera hantar melalui petugas-petugas di PKOB yang sentiasa berdedikasi untuk membekalkan bakul makanan kepada rakyat,” katanya pada sidang media atas talian, di sini hari ini.
Maklumnya lagi, berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Desa Bidara, Kuala ketil bantuan makanan kering sudah diedarkan. “Mulai minggu ini, kita juga akan bekalkan makanan basah dan sedikit wang tunai kepada 1256 rumah yang terlibat dengan PKPD,”ujarnya.
Hal ini berikutan sektor industri di Kuala Ketil hanya beroperasi seminggu dua kali sahaja dan bayaran gaji pekerja mengikut hari. Katanya lagi, berikutan PKPD ini pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membuka pasar barangan basah di dalam Taman Desa Bidara dan pembelian perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan. “Peruntukan bagi barang makanan di Taman Desa Bidara RM176 ribu,”ujarnya lagi.
“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”