Home Berita PAS Johor

Lawatan Pamer Sifat Mesra Rakyat Adun Puteri Wangsa

932
SHARE

Puteri Wangsa,  16 September 2017- Senang didekati. Itulah salah satu keperibadian Yang  Berhormat Ustaz Abdullah Husin yang sebati dengan dirinya. Tidak menolak sebarang jemputan melainkan ada urusan yang tidak dapat dielakkan.

Pada Ahad 10 September yang lalu, dua program santai telah dihadiri oleh YB Ustaz Abdullah Husin. Pada paginya, YB Ustaz menerima kunjungan daripada Majlis Tindakan Dun (MTD) Tiram untuk beramah mesra dan bersarapan bersama. Mereka berbasikal dari Pasir Gudang ke Puteri Wangsa sebagai salah satu aktiviti kemasyarakatan.

Kunjungan ramah mesra ini berakhir jam 10.00 pagi. Seterusnya,  diikuti program santai yang kedua pada jam 11.00 pagi, iaitu Lawatan Muhibah Lajnah Ekonomi Cawangan Kangkar Tebrau ke Osman Goat Farm yang terletak di Kampung Kangkar Tebrau.

YB Ustaz diberi penghormatan untuk menyembelih seekor kambing besar yang dianggarkan nilainya RM1500 oleh pemilik ladang kambing tersebut. Sambil menunggu kambing itu siap dilapah, rombongan Yang Berhormat dibawa ke sekitar ladang sambil diberi penerangan serba sedikit mengenai ladang kambing Osman.

Setelah itu, pemilik ladang, Encik Osman menjemput ahli rombongan menikmati juadah tengahari yang telah disediakan. Program ini berakhir pada jam 12.45 tengah hari. Sebagai buah tangan,  pihak ladang ternakan kambing ini memberikan daging kambing segar yang telah disembelih oleh YB kepada semua ahli rombongan secara percuma.

Walaupun kedua-dua program ini bersifat santai namun banyak kelebihannya untuk dihebahkan kepada umum bahawa YB Ustaz Abdullah Husin adalah seorang pemimpin tempatan yang senang didekati, mesra rakyat dan sentiasa ada apabila masyarakat memerlukan tanpa membezakan ideologi politik terutamanya dalam urusan kemasyarakatan.