Home Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia

PRU 14: Buang Badi Bn, Tolak Kepuraan PH

406
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
18 September 2017 | 27 Zulhijjah 1438

“PRU14: BUANG BADI BN, TOLAK KEPURAAN PH”

1.    Penyataan bahawa undi PH bererti memberi undi kepada DAP mempunyai asas, logik dan bukti yang sangat kukuh serta jelas. Berbeza dari dakwaan kononnya mengundi PAS bermakna memberi undi kepada Umno; ternyata ianya tuduhan fitnah, tidak berhubung kait, bahkan propaganda bohong yang sengaja diulang-ulang.

2.    Sejak beberapa tahun ini ia diratib untuk memburukkan PAS, namun hingga kini tidak pernah terjalin pun ikatan yang diadu dombakan itu. Malah bagi mengesahkan tiadanya hubungan dengan parti Melayu tersebut, PAS diletakkan dalam situasi paksaan dan desakan; seolah-olah perlu menampakkan sengketa fizikal terhadap Umno.

3.    Pantang sahaja ada gambar mahupun majlis yang terdapat pimpinan atau warga dari dua parti ini, pasti tohmahan dilempari sewenangnya. Hatta sekalipun ianya amat mustahak dilakukan atas urusan dan perjawatan rasmi yang termaktub berkaitan kerajaan atau agenda melibatkan kepentingan rakyat, negara dan sejagat.

4.    Walhal Penasihat DAP, Lim Kit Siang beberapa kali menyatakan secara terbuka kesediaannya bekerjasama dengan BN termasuk Presiden Umno demi Malaysia. Begitu juga Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang yang pernah bertemu dengan pemimpin Kerajaan Persekutuan dari Umno.

5.    Perkara serupa juga dilakukan pimpinan PH yang lain, bahkan kelihatan dalam suasana lebih ceria dan mesra. Kepuraan dan temberang ini tidak mungkin disembunyikan atau menjadikan segalanya halal bagi PH, tetapi haram ke atas PAS. Hakikatnya semua pemimpin dan parti perlu matang dalam interaksi di wadah demokrasi.

6.    Masing-masing ada peranan ke atas pemerintahan yang mesti dilangsung dan ditegakkan mengikut lunas perundangan. Bukannya sepanjang masa menyebabkan politik bagai medan peperangan untuk saling menghapuskan. Persaingan yang ada sebetulnya perlu dimuktamadkan secara tertib dalam pilihan raya adil dan seimbang.

7.    Malangnya, PH selesa bermain dengan emosi, persepsi, kontroversi, sensasi, manipulasi dan provokasi, yang juga masih menjadi perwatakan politik BN. Itulah politik Machievelli yang sanggup melakukan segalanya untuk menang walaupun melanggar prinsip, nilai dan norma, bahkan berasimilasi dan larut kepada sebarang ideologi.

8.    Akibat dari itu, serta kesan pertembungan yang wujud, parti-parti akhirnya menyerlahkan rupa paras sebenar dan segala terselindung selama ini. Kuasa dan kedudukan yang dikejar hakikatnya membawa sama hasrat untuk mengenepi dan membuang tonggak-tonggak serta asas pembentukan negara dari kedudukannya.

9.    Paling kuat mempertajamkan tindakan adalah DAP yang memilih untuk bermusuh pada hampir setiap perkara diketengah berkaitan kepentingan Islam dan Melayu. DAP yang sering mempertikai, menghasut dan membantah mengenainya memperlihatkan sikap anti Islam dan perkauman oleh parti itu.

10.  Dalam realiti negara ini, PAS adalah parti yang tegas dan konsisten mempertahankan semua perkara tersebut selaras peruntukan terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, tindakan DAP itu adalah mencabar dan menggugat teras negara ini sekali gus dilihat mempunyai hasrat mengubah dasar dan hala tuju Malaysia.

11.  Maka, PAS menjadi pihak yang ditentang DAP lantaran menyekat nafsu mereka dan kerana PAS tidak berganjak dengan pendirian Islam. Malah menjadikan PAS bukan sahaja kekal berhadapan Umno-BN yang sejak sekian lama membiakkan pelbagai beban ke atas negara ini, tetapi juga DAP bersama sekutu-sekutunya dalam PH.

12.  Asas kenyataan kami bahawa undi PH bererti memberi undi kepada DAP, dibuktikan sendiri oleh PAN, PPBM dan PKR yang serta-merta tampil membidas PAS dengan segala kecaman. Menunjukkan mereka adalah benteng yang mempertahankan DAP, sedang DAP hanya diam membisu.

13.  Bahkan, ianya adalah logik kerana DAP merupakan salah satu rakan komponen PH. Selain itu, DAP yang memulakan dahulu tindakan menyogokkan tuduhan fitnah dan propaganda bohong terhadap PAS. Ia kemudian diulang secara bebal dan semberono oleh PAN, PPBM dan PKR yang sememangnya menuruti DAP.

14.  Tindakan menyerang PAS seperti itu sebenarnya cubaan melindungi perlakuan yang dibuat mereka, ibarat pencuri menjerit “Pencuri!” berulang kali. Walhal, tidak ada satu pun kenyataan dikeluarkan kami terdesak atau ke arah menghasut sentimen kebencian dan membarakan api perkauman untuk menakut atau memecah belah rakyat.

15.  Berbeza DAP yang sejak sekian lama masyhur dengan sikap perkauman dan sepanjang mentadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyebabkan ramai penduduk terusir dan penjaja kecil diambil tindakan terutama kaum Melayu. DAP sendiri terpalit dengan skandal kleptokrasi ketika mereka menuduh PAS mempertahankan kleptokrasi BN.

16.  Melucukan lagi apabila kleptokrat agong yakni Tun Dr Mahathir Mohamad berada bersama mereka tanpa pernah diminta menginsafi, membetulkan dan bertaubat dari kesilapan lampau. Bermakna, sikap PH itu layak dikatakan sebagai bersubahat dan membela kleptokrat yang telah menimpakan banyak impak kepada negara dan rakyat.

17.  Lagipun, tidak ada ertinya melindungi Tun Mahathir kerana semua perbuatannya itu dahulu dilakukan semasa ia teguh bersama Umno-BN dan penyakit itu diwariskannya kepada Umno-BN kini. Malah mengesahkan segala yang diperkata PAS dan juga DAP serta pihak lain dahulu mengenai Umno-BN adalah benar belaka.

18.  Tetapi sekarang, hanya kerana Mahathir bersama dan menjadi teraju penting PH, segala kejahatan lampaunya seolah disucikan. Semua itu adalah hipokrit yang terang lagi nyata oleh PH. Juga merupakan tindakan untuk memperolok rakyat, serta menjadikan politik sebagai peluang, kesempatan dan habuan.

19.  Pemimpin Umno juga tidak perlu sibuk mendakwa PAS baharu tersedar mengenali siapa DAP. Kerana banyak perkara telah berubah dan PAS mengambil setiap pendirian berdasarkan hukum, bukan pragmatik. Umno kini sepatutnya malu mendedahkan perbuatan masa lampau Tun Mahathir kerana sebenarnya membuka pekung sendiri.

20.  Kerana itulah kami tegaskan bahawa BN dan PH keduanya mesti ditolak rakyat pada PRU14 akan datang sebagai satu agenda Rakyat Selamatkan Malaysia! Kami tawarkan Islam untuk pemerintahan dan negara ini kembali diletakkan di landasannya sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia