Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 8 Jul : Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Negeri Melaka memberikan komitmen untuk membawa masalah saliran air sawah di Kampung Pinang, Kelebang ke pengetahuan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Menurut pengerusinya, Jamarudin Ahmad, isu ini berada dalam bidang kuasa Jabatan Parit Dan Saliran (JPS) yang merupakan agensi di bawah KASA.
“Saya sudah merujuk kepada Setiausaha Politik kepada Menteri KASA, iaitu Dr Mohd Zuhdi Marzuki. Beliau meminta supaya pesawah-pesawah ni buat surat terus kepada Menteri.
“Pertengahan Julai ni memang akan ada Mesyuarat LATAS Pusat yang turut akan dihadiri beliau. Perkara ini akan dibincangkan nanti berkaitan apa tindakan selanjutnya oleh pihak KASA,” ujarnya.
Tambah Jamarudin lagi, beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil pesawah terbabit pada Selasa untuk mendapat maklumat lengkap.
“Pihak LATAS PAS Kawasan Tangga Batu akan membantu para pesawah untuk menyediakan dokumentasi dan maklumat-maklumat yang diperlukan bagi menyokong aduan mereka. Ini termasuk keratan akhbar Harakah dan video yang dikeluarkan Jabatan Penerangan PAS Melaka berkaitan isu ini,” ujarnya.
Selain itu, menurut Jamarudin, beliau juga akan membawa cadangan para pesawah agar kerajaan menggazetkan kawasan-kawasan sawah padi di Melaka sebagai ‘mini jelapang padi’ ke pengetahuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Katanya, ini bagi mengelakkan tanah sawah dibangunkan perumahan selain memastikan Melaka dapat menyumbang kepada usaha menjamin ‘food security’ negara yang kian terancam.
Portal Berita PAS Melaka dan Harakah sebelum ini telah melaporkan aduan pesawah-pesawah terlibat yang berdepan masalah yang telah berlanjutan selama berpuluh tahun di mana bekalan air daripada sistem saliran tidak sampai ke kawasan sawah mereka menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada air hujan semata-mata.
Laporan itu adalah susulan daripada aduan mereka yang diterima oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, yang juga merupakan bekas calon Perikatan Nasional- PAS bagi N14 DUN Kelebang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu, Bakri Jamaluddin.
Beliau telah mengaturkan pertemuan antara pesawah-pesawah terlibat bersama Wartawan Rakyat Melaka (WARM) dan Harakah melalui wakilnya, Ramlan Amad yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tangga Batu.
Foto di bawah pertemuan antara pesawah dan Wartawan Rakyat Melaka (WARM) dan Berita PAS pada 21 Jun lepas