Home Berita PAS Melaka

Tanam padi dua kali setahun jika masalah pengairan Kampung Pinang selesai – Bakri

139
SHARE
Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 8 Jul : Pesawah-pesawah di Kampung Pinang, Kelebang mampu menanam padi dua kali setahun jika masalah pengairan di sawah mereka dapat diselesaikan kerajaan, kata Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Menurut beliau masalah pesawah di kampung ini yang selama ini bergantung kepada air hujan semata-mata akibat sistem pengairan yang tidak memenuhi keperluan menyebabkan timbul pengulangan dalam proses penanaman padi tersebut setiap kali hujan tidak turun.

“Saya percaya kalau masalah ini selesai, pesawah padi khususnya di Kampung Pinang dapat melakukan penanaman dua kali setahun dan meningkatkan hasil padi bagi setiap hektar sawah padi.

“Secara tidak langsung akan dapat memperkuatkan kemampanan ‘food security’ bagi Negeri Melaka,” ujar beliau yang juga merupakan bekas calon Perikatan Nasional- PAS bagi N14 DUN Kelebang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.

Laporan Harakah 1 Julai 2022

Portal Berita PAS Melaka dan Harakah sebelum ini telah melaporkan aduan pesawah-pesawah terlibat yang berdepan masalah ini yang telah berlanjutan selama berpuluh tahun susulan daripada aduan mereka yang diterima oleh Bakri.

Beliau sebelum ini telah mengaturkan pertemuan antara pesawah-pesawah terlibat bersama Wartawan Rakyat Melaka (WARM) dan Harakah melalui wakilnya, Ramlan Amad yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tangga Batu.

Bakri juga menzahirkan rasa syukur kerana isu ini sudah mendapat perhatian daripada pihak KASA.

“Alhamdulillah setelah berita ini tersiar di dalam Harakah dan Portal Berita PAS, ianya telah mendapat perhatian dari Yang Berhormat Menteri KASA melalui LATAS PAS Pusat dan Negeri Melaka. Insya-Allah tindakan lanjut akan dibuat agar permasalah pesawah padi di Kampung Pinang dapat diselesaikan secepat mungkin,” ujarnya ketika dihubungi WARM semalam.