Home Berita PAS Kelantan

Kursus Kulinari bimbing peserta jadi usahawan

187
SHARE

KOTA BHARU, 5 September: Kursus Kulinari Percuma Akademi Al Aufi dengan kerjasama Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) bagi Siri II diteruskan pada 22 Ogos lalu membabitkan 22 peserta yang telah lulus dalam sesi temuduga.

Chef Lan atau Mazlan Hassim, Pakar Kulinari dari Akademi Al Aufi berkata peluang yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk membantu masyarakat terutamanya golongan belia yang terjejas pendapatan kesan pandemik COVID-19 tidak harus dilepaskan begitu sahaja.

Menurutnya, melalui kursus tersebut peserta akan diberikan ilmu dan kemahiran secara percuma dan seterusnya dibimbing menjadi usahawan dalam bidang penghasilan makanan.

β€œAntara ilmu dan kemahiran yang diberikan sepanjang kursus kulinari ini ialah mempelajari teknik membuat kek, roti, masakan Melayu, masakan Cina, masakan barat, kuih muih dan penghasilan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) seperti penghasilan mi kuning, pati soya dan pes masakan.
Peserta juga boleh memilih sejenis produk makanan yang diminati untuk dibimbing sehingga menjadi usahawan yang berjaya dalam penghasilan produk tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Demo Masakan Bersama Datin Bentara Kanan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, 29 Ogos lalu.

Menurutnya lagi, untuk Kursus Kulinari Siri I yang lalu, telah ada peserta yang berjaya menghasilkan pes kari, pes tomyam dan air roselle.

Sementara itu, salah seorang peserta Kursus Kulinari Siri II, Wan Syafiqah Amira Aminuddin, 20 yang berasal dari Pasir Tumboh berkata beliau meminati bidang bakeri dan berhasrat dapat membuka kedai dan menjadi usahawan yang berjaya suatu hari nanti.