Home Berita PAS Johor

Kunjungan Delegasi Dewan Muslimat PAS Negeri Johor Penuhi Undangan Wanita UMNO Johor Merupakan Suatu Lakaran Sejarah.

1231
SHARE

Kunjungan Delegasi Dewan Muslimat PAS Negeri Johor Penuhi Undangan Wanita UMNO Johor Merupakan Suatu Lakaran Sejarah.

13 Mei 2019(Isnin)/8 Ramadhan 1440H:

Suasana petang yang tenang dan mendamaikan diiringi hujan renyai -renyai di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor seakan riang menyambut ketibaan kami mewakili Dewan Muslimat PAS Negeri Johor(DMPNJ) .Kami dijemput hadir bagi memenuhi undangan daripada Wanita UMNO Negeri Johor untuk majlis ramah mesra dan majlis berbuka puasa bersama , amat mengujakan.

Sementara menanti majlis bermula , kami sempat mengabadikan kenangan mewakili delegasi Dewan Muslimat PAS Negeri Johor(DMPNJ) di perkarangan bangunan , sebelum melangkah masuk ke Pejabat Perhubungan UMNO yang indah dan permai .

Ketibaan kami disambut mesra dan diraikan dengan huluran salam perkenalan oleh semua Ketua Wanita Bahagian UMNO dan pimpinan Wanita UMNO Negeri Johor yang menanti ketibaan kami sambil mengukir senyuman manis.

Hati kami berbunga riang bila melihat dari jauh lagi Pn.Hjh.Asiah Binti Md.Ariff (Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Johor),menguntum senyuman manis dan menyapa ramah sambil bertanya khabar dengan nada ceria serta gembira berdiri menyambut ketibaan kami , bersama pimpinan Wanita UMNO Bahagian yang lain .

Jauh di sudut hati saya ,rasa sangat terharu dan gembira dengan jalinan ukhuwwah yang terjalin demi ISLAM.
Sesungguhnya segala aturan takdir yang tertulis ini merupakan anugerah indah yang harus disyukuri dan diterima dengan penuh keinsafan di hati.

Delegasi DMPNJ diketuai oleh Puan Fatimah Ismail (Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor) bersama Puan Hjh.Sabariah Md.Amin (Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor), dan sebahagian dari AJK DMPNJ yang semuanya berjumlah 8 orang hadir memenuhi undangan majlis berbuka puasa ini,termasuk saya selaku Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor.

Majlis dimulakan dengan program suai kenal dan taaruf antara pimpinan yang hadir dari dua buah parti serta memperkenalkan diri dan latar belakang ringkas tentang diri masing -masing .Sesekali suasana gurauan santai dan ceria memecah kesunyian suasana, menyerikan lagi pertemuan yang indah dan penuh mahabbah (kasih sayang ) ini.

Antara harapan dan perbincangan kedua -dua wakil dari dua buah parti adalah impian agar semangat muafakat dan kerjasama ini diteruskan demi kelangsungan perjuangan wadah parti yang disayangi melalui penyatuan ummah demi ISLAM.

Sesungguhnya cabaran dalam perjuangan dan ombak badai yang menanti di hadapan memang sukar diramal dan pasti penuh dengan rintangan , namun segala suka duka dan pahit manis sepanjang ikatan yang tersimpul ini pasti akan tetap terpahat indah di ingatan.

Kami sentiasa berdoa agar hubungan silaturrahim yang terjalin mesra ini sentiasa di dalam panduan hidayah dan lembayung rahmat dariNYA jua.

“Ya Allah eratkanlah kemesraan antara hati -hati kami dan teguhkan lah pendirian kami demi mendaulatkan syariatMU di bumi Malaysia ini “. Perkenankanlah doa kami di bulan Ramadhan yang mulia ini ..
Ameen Ya Rabb..

Coretan rasa:
NORMALA SUDIRMAN(CIKGU MALA).
AJK Dewan Muslimat PAS Malaysia
Merangkap
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor .
8 Ramadhan 1440 H/13 Mei 2019