TEMERLOH, 2 Jan: Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bersama anak syarikatnya dengan kerjasama PERAKAN Malaysia, NGO R, Cakna Palestin dan Jabatan Amal telah berjaya melaksanakan Misi Bantuan Pasca Banjir ke Pahang (MASCAN’21) pada 30 Disember 2021 hingga 2 Jan 2022.
Misi ini melibatkan 70 sukarelawan dalam operasi mencuci dan menghantar bantuan perkakas dapur di sekitar Bukit Lanchang dan Mentakab.
Kawasan tersebut paling teruk terjejas banjir sehingga menenggelamkan 80 peratus perumahan.
Majlis pelepasan konvoi yang melibatkan lori, kereta pacuan empat roda 4×4 dan van disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud di Bandar Baru Tunjong.
Dalam ucapan perasmian, beliau mengingatkan para sukarelawan menjaga tingkah laku agar khidmat yang disumbangkan tidak menimbulkan fitnah serta sentiasa berhati-hati terutama semasa perjalanan pergi dan pulang.