Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

Kuasai Fiqh Muwazanat Agar Keputusan Selari Kehendak Syarak

1847
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Kefahaman terhadap Fiqh Muwazanat adalah amat penting kepada para pendokong perjuangan Islam bagi memastikan keputusan yang diambil bertepatan dengan kehendak syarak.

Demikian dijelaskan Ketua Lajnah Kajian dan Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, Ustaz Imran Al-Malizi ketika menyampaikan kuliah bertajuk ‘Fiqh Muwazanat’ sempena Ijtima’ Tarbawi 6.0 di Kompleks Pendidikan MATIN, Kangar, pada petang tadi.

Katanya, Fiqh Muwazanat merupakan kefahaman yang jelas, benar dan tepat dalam pertimbangan sebelum membuat keputusan dan merupakan antara mekanisme penting yang perlu dikuasai oleh para amilin Gerakan Islam khasnya para pemimpin.

Menurutnya lagi terdapat tiga prinsip utama dalam Fiqh Muwazanat seperti yang dinyatakan oleh Prof. Dr.Yusuf Abdullah al-Qaradhawi iaitu mendahulukan memilih maslahah yang lebih kuat (rajih) mengatasi yang tidak kuat (marjuh), mendahulukan menolak mafsadah yang lebih buruk mengatasi yang selainnya dalam perkara-perkara kerosakan serta mendahulukan memilih maslahah yang lebih kuat (rājih) mengatasi mafsadah yang tidak kuat (marjuh).

“Apa maksud muwazanat, wazanat itu timbang, kata Ibnu Manzur muwaznat bermaksud perlambangan kepada berat atau ringan.

“Fiqh Muwazanat ni memberi keutamaan antara perkara maslahah dan mafsadah yg bertembung, benda ni kadang-kadang dia bertemu, berkumpul dalam satu keadaan maka kita kena pilih,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Fiqh Muwazanah sangat berkait rapat dengan Fiqh al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan) manakala kemampuan menguasainya mampu meminimumkan unsur kelemahan dan kekurangan dalam keputusan yang diambil di samping mengelakkan berlakunya kesilapan dan kesalahan dalam memuktamadkan sesuatu keputusan.

Tambah beliau, mekanisme inilah yang digunakan oleh PAS sebagai asas pertimbangan dalam menentukan segala bentuk keputusan, hala tuju dan pendirian PAS dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Justeru ujarnya, setiap pimpinan dan ahli PAS haruslah menyedari bahawa segala keputusan yang diambil oleh parti adalah berdasarkan pertimbangan ilmu dan hikmah kebijaksanaan, bukannya dibuat dengan sewenang-wenangnya.