Home Artikel Dewan Pemuda PAS Malaysia

Wajib Fahami dan Laksanakan 10 Arahan Presiden PAS

364 views
SHARE

Oleh: Nur ‘Iffah

KANGAR : 10 Arahan Presiden seperti yang telah digariskan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 mesti difahami dan dilaksanakan secara serius di semua peringkat dalam PAS, demikian tegas Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi.

Katanya sebagai pendukung gerakan Islam, ketaatan kepada pemimpin merupakan suatu tuntutan yang wajib dilaksanakan kerana perkara berkenaan merupakan al haq dan termaktub di dalam al Quran.

 

Memetik ayat 59 Surah An-Nisa’, beliau mengingatkan para peserta Ijtima’ Tarbawi 6.0 akan perintah Allah kepada golongan yang beriman supaya mentaati Allah, RasulNya dan para pemimpin yang beriman.

“Hidup kena ada pemimpin sebab ini (kepimpinan) arahan Allah.

“(Tuan Guru) Presiden kita telah menggariskan 10 perkara, 10 arahan dalam memandu kita mentaati Allah, maka menjadi wajib ke atas kita untuk dilaksanakan,” jelasnya.

Menurutnya, arahan berkenaan yang ditujukan kepada semua pihak dalam PAS adalah bertujuan bagi memperkukuh organisasi di seluruh peringkat agar PAS terus mapan menggalas perjuangan Islam di negara ini.

Justeru ujarnya, setiap dewan dalam PAS mestilah melaksanakan peranan yang telah dipertanggunjawabkan secara bersungguh-sungguh demi menjayakan hasrat Presiden PAS.

“Arahan pertama, semua pihak mesti jelas dan bersetuju dengan tema ‘Islam Memimpin’.

“Kedua, pentarbiyahan, suatu benda yang cukup besar dalam PAS, mestilah dilaksanakan secara lebih mampat, padat agar ahli lebih mantap kefahamannya.

“Dewan Ulamak pula mesti menjadi jurubicara dalam menjelaskan isu semasa, pemuda pula mendampingi anak muda manakala muslimat berperanan mendepani isu masyarakat,” katanya ketika menyampaikan kuliah menyampaikan Kuliah Maghrib sempena Ijtima’ Tarbawi 6.0 yang berlangsung di sini hari ini.

Pada masa yang sama, beliau memberikan ingatan kepada seluruh ahli serta pimpinan PAS supaya sentiasa memelihara diri dan imej parti agar selaras dengan statusnya sebagai sebuah parti dan gerakan Islam.

“Biar kita ahli PAS ini berbeza dengan ahli parti lain, di mana sahaja pada setiap masa, kita harus menjaga sikap kita sebagai ahli PAS.

“Ahli PAS ni mesti ada hubungan yang dekat dengan Allah pada setiap masa, jangan solat jemaah masa ijtima’, masa tamrin sahaja,” katanya.