Home PAS Pusat

Kuarantin: Islam Anjurkan, China Praktikkan dan Dunia Mengikutinya

1763
SHARE

Kuarantin: Islam Anjurkan, China Praktikkan dan Dunia Mengikutinya

Seruan untuk mengisolasi sebuah daerah yang dilanda wabak pertama kali diperkenalkan oleh Islam pada kurun ketujuh Masihi. Nabi s. a. w yang merupakan Ketua negara Madinah pada ketika itu menyebut secara jelas:

“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini pernah dibaca oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana pada zaman pemerintahannya. Mendengar hadis ini, Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya.

Ini merupakan satu teks sahih mengenai amalan asas di dalam perubatan di dunia yang belum mengetahui penyebab sesuatu penyakit.

Perkataan kuarantin mula diperkenalkan pada abad ke-15. Berasal daripada perkataan Latin ‘quarantino giorni’ yang bermaksud empat puluh hari. Semua Kapal yang masuk ke pelabuhan Venice telah ditahan 40 hari bagi mengawal perebakan Wabak ‘Black Death’ pada masa itu. Sejak itu namanya telah digunakan bagi amalan mengisolasi pesakit dalam dunia barat.

‘Fast forward’ lima kurun kemudiannya, banyak lah wabak telah berlaku di dunia ini. Ada yang menyebabkan puluhan, ratusan, ribuan dan malah jutaan kematian. Manusia dan kerajaan setiap negara telah cuba mengawal perebakan wabak-wabak yang berlaku dengan cara dan pemikiran mereka. Namun malangnya tiada yang mencapai kejayaan mutlak. Semua kejayaan adalah relatif sifatnya yang telah dibandingkan dengan pengalaman jangkitan sebelumnya dan tanpa mengambil kira jenis organisma penyebab wabak, kemajuan dan kecepatan manusia di dalam menyebarkan wabak dan kemampuan manusia mengenal pasti jangkitan dan merawatnya.

Percubaan mempraktikkan mengkuarantin sebuah bandar telah cuba diamalkan oleh beberapa negara di dunia ini. Namun semuanya tidak berjaya. Dalam tahun 1832, bagi mengekang perebakan wabak kolera ketika itu, New York telah dikuarantin daripada dunia luar. Proklamasi New York telah membuat arahan supaya tiada kapal yang boleh menghampiri kurang dari 300 ela dari pantai dan satu Batu setengah melalui jalan darat ke Bandar New York. Namun usaha tersebut tidak berjaya kerana ada penduduk yang telah memboloskan diri daripada usaha kuarantin tersebut yang akhirnya menyebabkan 3500 kematian, 70,000 pelarian dan perebakan kolera sehingga ke Mexico.

Kemajuan dunia perubatan di awal abad Ke 20 dalam pengenalan patogen penyebab dan menghasilkan vaksin mencegahnya, pengenalan rawatan antibiotik, antiviral dan yang seumpamanya menyebabkan momentum amalan kuarantin telah semakin berkurang fungsinya. Ia difokuskan khusus untuk mereka yang didapati menghidap penyakit atau positif sebagai membawa penyakit. Mengkuarantin sebuah bandar atau daerah dilihat sebagai hanya menimbulkan panik masyarakat, membantutkan ekonomi dan menafikan hak kebebasan masyarakat.

Begitulah amalannya sehingga dunia dikejutkan kembali dengan wabak pernafasan SARS yang berlaku pada tahun 2003. Ia bermula di negara China di ambang sambutan Tahun Baru Cina. Suasana politik di negara China pada ketika itu menyebabkan berita mengenai perebakan satu wabak pernafasan yang asing kepada manusia yang telah bermula di akhir November 2002 telah digelapkan daripada pengetahuan penduduk China dan dunia. Namun melalui kuasa media tidak rasmi pada masa itu iaitu melalui sistem pesanan ringkas(SMS) dan Internet (WhatsApp Dan Facebook belum popular), hampir 50% penduduk telah mengetahui tentang virus pembunuh tersebut.

Melihat kepada situasi perebakan SARS yang telah dilaporkan secara tidak rasmi menyebabkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO )telah membuat kenyataan pertama Amaran Global Mengenai SARS pada 15 Mac 2003. Namun China menafikannya sehinggalah kunjungan WHO ke China pada 25 Mac. Akhirnya WHO mengeluarkan arahan bahayanya melawat Hong Kong Dan Guandong di akhir Mac 2003 iaitu yang pertama selepas 55 tahun penubuhan WHO.

China hanya mengambil peranan aktif dalam pengawalan dan pelaporan kematian di pertengahan April. Lebih drastik lagi, kerajaan China telah mengarahkan Menteri Kesihatan dan Datuk Bandar Beijing pada 20 April 2003 untuk meletakkan jawatan kerana kegagalan di dalam mengurus wabak tersebut dan sehingga Mei 2003, seramai 1000 Orang pegawai kerajaan telah diambil tindakan disiplin. Wabak SARS yang telah menjangkiti 8096 orang, 774 kematian dan melibatkan 17 negara akhirnya diisytiharkan berakhir di China dan dunia seluruhnya setahun kemudian iaitu pada bulan Mei 2004.

Ironinya di ambang Sambutan Tahun Baru Cina 2020, sekali lagi dunia dikejutkan dengan perebakan satu wabak pernafasan dari koronavirus yang asing kepada manusia. Banyaklah teori penyebabnya yang disebarkan di dunia maya sama ada melalui makanan hidupan liar seperti ular dan kelawar sehinggalah kepada makmal senjata biologi di Wuhan. Namun yang penting pada hari ini ialah bagaimana reaksi China dan dunia dalam era ini.

Dengan pengalaman mereka menghadapi virus SARS, tindakan kerajaan China pada hari ini adalah lebih proaktif. Jangkitan pertama koronavirus yang dikenali sebagai 2019-nCoV telah dikenal pasti pada pertengahan Disember 2019 di Bandar Wuhan. Ia dilaporkan secara rasmi pada 31 Disember 2019. Pada 1hb Januari 2020, Pasar Binatang Liar Wuhan telah ditutup. Pada 9 Januari virus 2019-nCoV telah dikenal pasti dan nama ini digunakan untuk pelaporan seterusnya.

Pada 20 Januari, virus tersebut telah merebak ke sekurang-kurangnya 20 provinsi lain di China sehingga kerajaan China terpaksa menutup Bandar Wuhan, Hubei pada 23 Januari 2020 dan mengawal perjalanan keluar dan masuk China melalui jalan udara. Bukan mudah untuk menutup sebuah bandar berpopulasi 11 juta penduduk dan sebuah negeri Hubei dengan 50 juta penduduk. Jauh lebih ramai daripada Malaysia. Tetapi China mampu dan berjaya melakukannya. Satu amalan yang dianjurkan oleh satu tamadun 14 kurun yang lalu.

Hasil tindakan China dan perisytiharan WHO sebagai Tahap Kecemasan Kesihatan Global telah dijadikan sebagai panduan oleh negara-negara lain. Sehingga kini, beberapa negara telah mengambil inisiatif menutup pintu kepada seluruh China. Ini disebabkan perebakan wabak telah didapati ke seluruh China dan dilaporkan seramai 5 juta penduduk Wuhan telah bertebaran ke seluruh China sebelum Bandar tersebut ditutup.

Walaupun begitu, virus tersebut terus merebak dan sehingga hari ini telah terdapat 259 kematian dengan lebih 11000 Orang yang dijangkiti. Dipercayai disebabkan kerajaan China masih lewat dalam bertindak Dan mengkuarantin penduduknya. Namun kita percaya, sekiranya wabak ini berlaku di negara-negara lain, hampir pasti tiada bandar yang ditutup dan mungkin perebakannya lebih besar dengan lebih ramai kematian.

Ironinya, negara-negara yang menutup pintu kepada seluruh negara China bukanlah negara majoriti umat Islam melainkan Negeri Sabah di negara ini. Ada negara tersebut yang sangat mudah untuk mengenal pasti mana rakyat negara China dan mana yang bukan. Namun mereka menutup pintu kerana prihatin kepada kesihatan rakyat yang kita tidak tahu bagaimana wabak ini akan berakhir.

Justeru kita merasakan, dalam keadaan perhubungan dunia yang semakin pantas pada hari ini, seruan yang dianjurkan oleh Nabi s. a. w masih lagi relevan untuk mengawal perebakan wabak. Sekiranya contoh telah ditunjukkan oleh China dan sebahagian negara dunia telah mengamalkannya, maka mengapa kita masih sangsi dengan seruan universal Islam ini.

DR. MOHD MAZRI YAHYA
Pengerusi
Lajnah Kesihatan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
1 Februari 2020

1. Bidayah wa al-nihayah, ibnu Kathir
2. https://wwwnc.cdc.gov/eid/article/19/2/12-0312_article
3. John Wilford, “How Epidemics Helped Shape the Modern Metropolis .” The New York Times, August 15, 2008.
4. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK92479/
5. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Timeline_of_the_SARS_outbreak