Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Tak Kenal Maka Tak Cinta

350
SHARE

Oleh : Bakri Jamaluddin

Seperti kebiasaanya menjelang Tahun Baru Cina saya akan memberikan ucapan kepada rakan-rakan sekerja dari kalangan Tionghua.

Menjadi kebanggaan bekerja selama hampir 34 tahun dalam sebuah syarikat ‘blue chip’ di Bursa Malaysia yang majoriti sahamnya dimiliki oleh keluarga Tan Sri berketurunan Tionghua. Apatah lagi dengan rezeki kurniaan Allah, berjaya pula meraih ke jinjang pengurusan kanan dalam syarikat konglomerat antarabangsa ini.

Pengalaman bekerja dengan pengurusan atasan yang terdiri daripada kalangan orang-orang bukan Islam banyak memberikan manfaat dari segi kecekapan pengurusan dan merangka pelan strategi bagi mempertingkatkan produktiviti dan efisiensi.

Memberikan ucapan ‘Selamat Tahun Baru’ atau ‘Gong Xi Fat Cai’ kepada pimpinan atasan, rakan sejawat dan staf subordinat adalah suatu yang rutin apabila memasuki bulan Januari atau Februari setiap tahunnya. Setiap ucapan yang diberikan biasanya akan dibalas dengan rasa terima kasih oleh si penerima.

Apa yang menyeronokan pada tahun ini, setelah bersara dari syarikat berkenaan buat pertama kali kad ucapan Tahun Baru Cina saya disertakan bersama logo parti kesayangan saya iaitu parti PAS. Menjunjung Islam yang berteraskkan kepada Al Quran dan Sunnah adalah lebih membanggakan dan mengembirakan berbanding bekerja dalam sebuah Konglomerat terkenal.

“Terima kasih Haji. Harap-harap awak bukan dari kem Hadi Awang.” Ini adalah antara ucapan balas dari mantan rakan sekerja kepada saya tahun ini apabila beliau melihat logo bulan terpapar di dalam kad ucapan yang saya hantar melalui aplikasi whatsapps.

“Maaf saudara, hanya ada satu kem dalam PAS, ia adalah kem Hadi Awang” balas saya.

“Mereka yang bukan dari kem Hadi Awang telah meninggalkan parti kami bersama-sama dengan Mohd Sabu”. ujar saya lagi.

“Mohd Sabu seorang yang bagus dan berpengaruh.” balasan beliau.

“Itu hanya pendapat anda tetapi bukan pendapat 1.4 juta ahli PAS. Pada kami Mohd Sabu seorang yang tidak boleh diharap. Dia akan dihukum rakyat dalam PRU akan datang” Jawab saya.

“Semoga Hadi juga begitu.” tambah beliau.

“Itu apa yang awak fikirkan. Sebenarnya dalam realiti Hadi bertambah kuat dan berpengaruh. Tidak seperti Mohd Sabu yang bergantung semata-mata kepada bantuan dan sokongan DAP. Dalam pemilihan parti beliau baru-baru ini pun beliau hanya mendapat kedudukan ketujuh sahaja.” balas saya.

Menarik dari perbicaraan whatsap di atas, mengapa mantan rakan sekerja saya amat tidak menyukai Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang (TGHH). Apakah beliau benar- benar mengenali keperibadian Tuan Guru atau sekadar mengenali Tuan Guru Presiden dari media sosial dan cakap- cakap angin orang- orang politik. Atau apakah beliau termakan hasutan dan persepsi yang direkayasa oleh DAP dan konco-konconya bagi memberikan gambaran buruk kepada sosok ulama penyatu ummah ini yang makin dihormati dan disegani dewasa ini.

Sosok tubuh yang sekian lama menjadi cercaan Tun Mahathir kini menjadi antara pimpinan politik yang pandanganya juga diambil kira oleh Tun.

Pertanyaan saya mengapa anda tidak menyukai ulama yang bertaraf dunia ini. Apakah beliau mempunyai rekod jenayah? Adakah beliau pernah melakukan amalan rasuah, nepotisma, kronisma dan sebagainya? Adakah pernah beliau menindas kaum kaum lain yang berbeda agama denganya atau mendiskriminasi panganut Agama lain dan mengambil hak- hak mereka?. Kalau semua pertanyaan di atas dijawab dengan “tidak atau tiada” jadi mengapa harus anda membencinya?

Sebenarnya anda mengalami penyakit Islamphobia yang ditiupkan oleh musuh musuh Islam yang tidak mahu melihat keadilan dan memelihara kesejahteraan manusia melalui Syariat Islam yang ditegakkan dalam sebuah negara.
Walaupun bukti depan mata dapat dilihat di Kelantan dan Terengganu, tetapi bisikan- bisikan jahat terus bermain di telinga anda sehingga ianya membenam di hati anda.

Sebenarnya kita tidak punya hujah untuk menolak kebenaran yang datang dari Tuhan yang Maha Esa melalui nabiNya dan diwarisi oleh para ulama seperti TGHH. Yang ada adalah alasan dan rekayasa persepsi hasil dari bisikan jahat mereka- mereka yang tebal kebenciannya pada Islam. Kerana sekiranya Islam dan syariatnya dapat dilaksanakan secara syumul maka akan terbongkar dan terserlahlah segala pendustaan dan pembohongan yang mereka buat selama ini demi kepentingan peribadi, juak-juak dan bukanya menjaga manusia.

Saya bedoa dan berharap suatu hari nanti Allah membukakan pintu hati dan memberi hidayah kepada mantan rakan kerja saya itu walaupun saya tahu beliau tidak menyukai TGHH sejak sekian lama.
“Tak kenal tak maka tidak cinta.Bila cinta berpaut nyawa dan badan jadi taruhan”

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Melaka merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu

(Rencana ini telah disiarkan Harakah cetak pada 31 Januari 2020 Edisi Jumaat)