Home Artikel PAS Melaka

KSS 2019:ALTERNATIF MEMPERKUKUH PEMBANGUNAN ROHANI DALAM DIRI ANAK-ANAK

326
SHARE
Haji Bakri Jamaluddin menyampaikan cenderamata kepada peserta.

Oleh : Ibnatdeen

Sungai Udang, 5 Disember 2019- Anak-anak adalah aset pembangunan dunia dan akhirat buat ibu bapa. Jati diri seorang anak ditentukan melalui corak pendidikan yang diberikan ibu bapa.

Bersempena musim cuti sekolah, Dewan Muslimat PAS Kawasan Tangga Batu mengambil peluang mendekati anak-anak kecil di kalangan masyarakat setempat melalui penganjuran aktiviti tahunan Kem Smart Solat (KSS).

Kem Smart Solat merupakan produk Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka yang memasuki tahun keempat penganjurannya pada tahun ini.

Timbalan Pengarah Kem Smart Solat Kawasan Tangga Batu, Nur Ismah Izzati ketika ditemui berkata sambutan penyertaan pada tahun ini melebihi sasaran. Ini petanda baik bahawa masyarakat menyambut baik penganjuran program ini.

Program Kem Smart Solat yang berlangsung selama 3 hari bermula pada hari Selasa, 3 Disember sehingga Khamis 5 Disember 2019 memberi penekanan kepada tatacara pelaksanaan bersuci dan solat yang betul.

Program ini telah dijayakan dengan bantuan 10 orang fasilitator terlatih dan penceramah Mazila Nordin.
Manakala hari terakhir telah diadakan ceramah motivasi keibubapaan berkisar pertanggungjawaban ibu bapa terutama mengenai solat yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Noor Omar.

Majlis penutup serta majlis penyampaian sijil dan hadiah kepada semua peserta dan fasilitator telah disempurnakan oleh Yang Di-Pertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri bin Jamaluddin.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tangga Batu, Anida Haron.

Respons dan komentar positif yang diterima daripada rata-rata ibu bapa penjaga peserta adalah mengharapkan pelaksanaan program ini diteruskan setiap tahun sebagai satu alternatif memperkukuh pendidikan solat dalam diri anak-anak.


Kelolaan Wartawan Rakyat Melaka (WARM)