Home Berita PAS Kelantan

KPWKM peruntukkan RM35 Juta bantu mangsa banjir

27
SHARE

PUTRAJAYA, 29 Dis: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff memaklumkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membelanjakan lebih RM35 juta bagi menyediakan barangan keperluan asas melibatkan barangan seperti comforter (toto), tikar, selimut, tuala, kain pelikat dan batik sarung, kit kebersihan diri dan lain-lain keperluan. Manakala lebih 31,921 unit collapsible tent (C-tent) dibekalkan untuk keselesaan keluarga yang berada di 771 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Tambahnya, 6470 PPS boleh menempatkan 1.5 juta orang pada satu-satu masa dan lebih dari 3000 pegawai JKM bertugas bagi memastikan penempatan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir berada dalam keadaan terurus serta makan minum mencukupi. 114,280 mangsa banjir di PPS yang dibuka di lapan negeri sejak 17 Disember lalu dan 135 pegawai JKM yang bertugas juga turut menjadi mangsa banjir.

“JKM juga turut menyediakan makanan bermasak di setiap PPS mengikut bilangan mangsa termasuk petugas sepanjang tempoh mangsa berada di sana. Di samping itu, semua Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir akan dibantu oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000”, katanya melalui kenyataan rasmi, hari ini.

Jelasnya, JKM dengan kerjasama strategik bersama Khidmat Malaysia dan Majlis Belia Negara telah menghantar lebih 10,000 orang sukarelawan Khidmat Malaysia ke negeri yang terlibat banjir sepanjang tempoh tersebut. Selain itu, JKM bersama Khidmat Malaysia telah berjaya mewujudkan dan menyelaras penyediaan dapur rakyat di setiap lokasi bencana yang dimanfaatkan lebih 16,000 mangsa.

Beliau turut menyatakan Kementerian amat menghargai jasa dan pengorbanan kumpulan sukarelawan dan NGO serta Pemimpin Komuniti yang telah banyak membantu JKM dalam pengurusan agihan bantuan kepada mangsa banjir sama ada di PPS mahupun yang telah pulang ke rumah. Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan PPS yang masih dibuka dan telah ditutup boleh dirujuk melalui aplikasi Info Bencana JKM yang boleh dimuat turun secara digital.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang dan Pengerusi Khidmat Malaysia berharap mana-mana pihak atau individu yang tidak terjejas dan berkemampuan untuk sama-sama menghulurkan tangan, ringankan beban mereka yang sedang diuji dengan musibah bencana banjir. Ketika inilah, semangat Keluarga Malaysia perlu menjadi cerminan kepada sikap peka dan prihatin sesama kita yang mungkin memerlukan bantuan.