Home Berita PAS Sabah

Konvoi RADU 2.0 jelajah daerah Sabah

1202
SHARE

Oleh : Salman Darwis
04 Februari 2019

Alternative Riding Club (ARC) negeri Sabah telah menganjurkan program Konvoi RADU (Riadah, Amal, Dakwah dan Ukhuwah), siri ke-2 baru-baru ini.

Program ini merupakan kesinambungan daripada program Konvoi Amal yang telah diadakan pada tahun 2017 dan Konvoi RADU yang pertama pada tahun 2018.

Dengan meneruskan tema “Benefits for Islamic Education Centre”, program ini mengekalkan konsep daripada program yang lepas, iaitu ziarah ke pusat-pusat pendidikan Islam dan menyerahkan sumbangan yang dikumpulkan daripada ahli kelab dan sumbangan orang ramai kepada pihak pengurusan pusat pendidikan yang berkenaan.

Konvoi tersebut diadakan pada 2 hingga 4 Febuari 2019, bermula di Kota Kinabalu, menunju ke Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Tawau, telah disertai oleh 55 orang peserta dari pelbagai daerah di Sabah, serta turut disertai oleh peserta dari negeri Sarawak.

Menariknya, konvoi ini juga turut disertai oleh rider dari kalangan orang lama atau ‘otai’ yang masih berminat dengan dunia permotoran.

Antara pusat pendidikan yang terlibat dalam program kali ini ialah beberapa bhah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Beluran, Sandakan, Kinabatangan dan Semporna, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) di Kunak serta Madrasah Darul Hidayah di Tawau.

Aktiviti sepanjang program yang telah disusun oleh penganjur, sesuai dengan nama program ini. Para peserta diwajibkan untuk menunaikan solat secara berjamaah, kemudian sama-sama mendengar tazkirah yang disampaikan berkenaan fiqh semasa musafir serta kaedah menunaikan solat jamak dan qasar.

Dalam majlis perasmian penutup konvoi yang diadakan di Dewan Imam Bukhari Madrasah Darul Hidayah, pengarah ARC Negeri Sabah, Asrul Samat berkata, program konvoi yang diadakan ini merupakan salah satu inisiatif para pemuda dan ahli kelab motosikal untuk membantu pusat pendidikan Islam, yang merupakan satu keperluan kepada masyarakat dan tuntutan fardhu ain untuk menyedia dan membangunkan pusat pendidikan Islam dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang memahami dan mengamalkan syariat Islam yang syumul dalam kehidupan.

Beliau menambah, melalui program ini, penganjur ingin menunjukkan bahawa usaha membangun dan melaksanakan jihad pendidikan ini boleh dilakukan oleh setiap Muslim, bukan sahaja oleh para ulama’ atau asatizah. Setiap kemahiran, kepakaran dan kelebihan dari mana-mana aspek boleh dimanfaatkan untuk menjayakan usaha ini.