Oleh TASNIM MUSTAFFA
SIK, 15 Nov – Konvoi motosikal anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Bukit Lada berjaya menarik lebih 150 peserta dalam Program Dek Ban, Sabtu lalu.
Program yang bertujuan menarik minat anak muda kepada program dakwah dan aktiviti kemasyarakatan ini dimulai dengan aktiviti konvoi motosikal bermula dari Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena dan berakhir di KEDA Resort Bendang Man, Sik.
Petugas PKWR Bukit Lada, Muhammad Saufi berkata aktiviti konvoi motosikal, sukaneka, sukan tarik tali, futsal, bbq diisi dengan aktiviti kerohanian seperti Tazkirah Pimpinan dan Kuliah Khas sangat mendapat sambutan peserta yang hadir
“Menariknya, kami tak kenakan sebarang yuran kepada semua peserta sepanjang sehari semalam mereka disini”, katanya.
Tambah beliau, Pengarah PKWR Bukit Lada turut menaja tiket perlawanan bola sepak TM Piala Malaysia 2021 kepada lima peserta bertuah.
YB Dato’ Ustazah Ashah Ghazali turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan motosikal paling cantik dan pemenang pertandingan dalam majlis perasmian penutup program dakwah ini.
Hadir sama dalam program ini Pengarah YADIM Negeri Kedah, Ust Mohd Aizat bin Zakaria, ADUN Bukit Lada, YB Ust Salim Mahmood, Ust Afnan Hamimi Taib Azamuddin, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, lagenda bola sepak negara, Tuan Haji Radhi Mat Din dan beberapa pimpinan komuniti setempat.