Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Konspirasi bebas pembunuh wira negara gagal

322 views
SHARE

ALHAMDULILLAH, Muslimat PAS mengucapkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T yang telah memandu dan mengilhamkan keputusan yang jujur di dalam inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib seperti yang diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad pagi tadi.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada pasukan peguam yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat yang telah bertindak bagi pihak keluarga Allahyarham Adib, demi keadilan dan tanpa mengharapkan balasan telah bertungkus-lumus memastikan proses inkues berjalan dengan adil.

Tahniah dan terima kasih juga kepada seluruh umat Islam Malaysia kerana kesatuan beserta munajat dan doa yang ikhlas telah berjaya menggagalkan konspirasi membebaskan pembunuh wira negara.

Sebaliknya, Muslimat PAS amat kesal dengan cara Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengendalikan siasatan dan proses ‘keadilan’ buat Allahyarham serta menegaskan pendirian Muslimat PAS bahawa tindakan-tindakan yang memihak ini jelas menampakkkan tiadanya wibawa seorang Peguam Negara.

Sesungguhnya, keadilan sebenar buat Allahyarham dan keluarganya adalah apabila ‘pembunuh’ sebenar didakwa, dibicarakan dan dihukum. Namun begitu, adalah amat disangsikan bahawa ianya akan terlaksana apabila kuasa tertinggi pendakwaan terletak di tangan seorang yang tiada wibawa.

Oleh yang demikian, Muslimat PAS mengulangi gesaan perletakan jawatan oleh Peguam Negara dengan kadar yang segera.

Muslimat PAS juga menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Setiausaha Agung PAS agar pihak berwajib menjalankan tanggungjawab dalam memberkas pembunuh Allahyarham Adib serta gesaan supaya kes komital terhadap Peguam Negara dijalankan dengan seadilnya agar sistem kehakiman negara kekal berwibawa dan berintegriti.

Sekian.

“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Ahli Dewan Negara