Oleh CHE MAZIAH MAT
PASIR MAS, 21 Sept: Bagi mempertingkatkan produktiviti sumber makanan di Kelantan pada masa akan datang, Kerajaan Kelantan semakin giat mengaktifkan konsep pertanian digital kepada petani tempatan.
Demikian kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail ketika mengulas tentang konsep transformasi digital sektor pertanian dengan menggabungkan teknik sedia ada (fertigasi, akuaponik dan rumah hasil cendawan) dengan sistem Internet Kebendaan (IoT).
Menurutnya, penaiktarafan sistem pertanian berteknologi tinggi dan penambahbaikan aspek pemasaran mampu memberi pulangan lebih lumayan kepada petani. Hal ini boleh menarik minat belia untuk menceburinya seperti pelajar Pondok Permai Seligi, Pasir Puteh dan belia Mukim Alor Buloh, Pasir Mas.
“Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) telah berkerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Selangor untuk memulakan konsep digitalisasi industri tani tersebut.
Melalui kerjasama ini, PPK Kuala Langat akan berkongsi kepakaran dari segi pemasaran dan perkongsian teknologi yang digunakan dalam meningkatkan hasil pengeluaran pertanian.
Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100,000 dalam perkongsian projek yang dilaksanakan KPKB dengan PPK Kuala Langat,” katanya ketika berkunjung ke tapak pertanian bersepadu yang dijalankan oleh Kelab Komuniti Tani-ternak Pasir Mas (KITABINA) di Kampung Beta, Jalan Meranti, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu juga memaklumkan, pihaknya akan mengemukakan peruntukan lebih besar untuk memajukan sektor pertanian di Kelantan, dalam bajet tahun hadapan.
Turut hadir, Pengurus Besar KPKB, Mukhlis Mokhtar dan Pengarah Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria serta pegawai jabatan negeri dan jajahan.