Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Komuniti insaf tinggalkan ‘lorong’ setelah dibimbing

705
SHARE

Komuniti insaf tinggalkan ‘lorong’ setelah dibimbing

KUANTAN: Pertubuhan Nur Fitrah telah bekerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Badan Kebajikan Islam MTBE menyampaikan sumbangan Aidil Fitri kepada komuniti insaf di Kampung Tengah, di sini semalam.

Sumbangan ini bertujuan membantu 100 orang dari golongan maknyah dan pekerja seks yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana penerimaan telah diwakili oleh beberapa wakil daripada komuniti tersebut.

Penasihat Pertubuhan Nur Fitrah Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam ucapan aluan beliau mengajak para wakil komuniti insaf yang hadir mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan doa kepada Allah S.W.T.

“Sebagai umat Islam kita hendaklah mensyukuri semua nikmat yang telah Allah berikan kepada kita dengan melaksanakan apa jua yang disukai  oleh-Nya,” pesan Ustazah Nuridah lagi dalam tazkirah ringkasnya.

Dalam program tersebut telah disampaikan sumbangan berbentuk barang keperluan dapur dan juga sejumlah wang sebagai bantuan, terutamanya untuk menyambut hari raya Aidil Fitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Susulan daripada program ini akan dijalankan program bimbingan rohani kepada komuniti insaf, agar mereka mendapat bimbingan berterusan hingga kembali menghayati cara hidup Islam yang sebenar.

Ketika ditemui, salah seorang wakil komuniti mak nyah yang telah menyertai program bimbingan pihak UIAM Kuantan menyatakan bahawa kebanyakan peserta program tersebut telah beransur meninggalkan pekerjaan mereka di ‘lorong-lorong’. – HARAKAHDAILY 20/5/2020