Home Artikel PAS Sabah

PAS Sandakan sasar 3000 pek Sinar Aidilfitri untuk fakir miskin

652
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis
21 Mei 2020

SANDAKAN : Menjelang 1 Syawal yang bakal tiba, PAS Sandakan menyasarkan 3000 pek Sinar Aidilfitri untuk diagihkan kepada fakir miskin dan golongan memerlukan dalam parlimen ini.

Sehubungan itu, sokongan orang ramai amat diperlukan dengan menghulurkan derma bagi menjayakan misi tersebut yang akan dilaksanakan pada akhir Ramadan nanti.

Ia dinyatakan oleh Yang Di Pertua PAS Kawasan Sandakan, Sahar Abdul Majid ketika menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada penerima di Batu 3, dekat sini semalam.

“Orang ramai boleh salurkan derma ke akaun Bank Islam Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan, 10043010001846 jika ada yang berhajat untuk menyumbang,” ujarnya ketika ditanya nombor akaun bank untuk sumbangan tersebut.

Tambahnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, sumbangan berbentuk ayam segar dan biskut raya itu dilaksanakan bagi memberi sedikit kegembiraan kepada penerima bagi menyambut hari raya.

“Walaupun sumbangan ini tidaklah banyak, tetapi sekurang-kurangnya ia mampu menceriakan saudara-saudara yang memerlukan juga sebagai tanda ingatan kita kepada golongan fakir miskin,” ujarnya lagi.

Pada kesempatan itu, Sahar turut merakamkan ucapan penghargaan kepada penderma sebelum ini yang tidak pernah jemu membantu PAS dalam misi kebajikannya.

“Mereka inilah wira tak didendang yang menjadi tulang belakang PAS bagi menjayakan setiap siri kebajikkannya yang sudah pasti memerlukan dana besar,” tambahnya.