Home Berita PAS Kelantan

Kompleks renang patuh Syariah bakal di bina di Kelantan

241
SHARE

Oleh SUHAIZI KADIR

KOTA BHARU, 3 Oct: Kerajaan Kelantan memperuntukan lebih RM20 juta bagi pembinaan sebuah kompleks renang patuh syariah sebagai persediaan menjadi tuan rumah pada penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-22 yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO YB Wan Roslan Wan Hamat berkata, kompleks renang tersebut akan dibina di Islamic City Centre Tiong, Kota Bharu termasuk dalam keseluruhan kos RM600 juta bagi pembinaan kesemua 16 fasiliti mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi penganjuran temasya itu nanti.

“Apabila kompleks renang ini siap, ia akan menjadi lokasi latihan para atlet SUKMA dari Kelantan. Walau bagaimanapun sebahagian aktiviti, latihan serta penganjuran pertandingan yang melibatkan atlet wanita seperti acara renang akan diadakan secara tertutup kerana Kelantan sentiasa menitikberatkan serta berpegang teguh pada prinsip sukan patuh syariah”, katanya.

Dalam perkembangan lain, tambahnya Kelantan menyasarkan beberapa pingat emas bagi acara renang pada temasya sukan itu nanti dengan mempertaruhkan 20 atlet muda (10 lelaki dan 10 wanita) dari Akademi As-Sibahah.

Beliau ditemui ketika merasmikan Majlis Penyerahan Peserta Akademi As-Sibahah Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) 2020 kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan) Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri, Tuan Aziz Tuan Mat dan Pengarah U-BeS, Nasruddin Mahmud Muhaidin.

#KelantanMakmur